Lebih membimbangkan, pelajar dan murid-murid perempuan turut terpengaruh menghisap vape dan bilangan mereka dilihat semakin meningkat, memandangkan peralatan vape atau peranti rokok elektronik itu boleh didapati dengan mudah di pasaran.


Pelbagai bentuk peranti rokok elektronik yang menarik ditawarkan oleh penjual, sama ada dijual secara terbuka di kedai-kedai atau secara dalam talian, menyebabkan para pelajar mudah terjebak dalam aktiviti menghisap vape ini, sehingga ia menjadi trend, terutama selepas waktu persekolahan.


Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye ketika diminta mengulas mengenai fenomena ini berkata, tindakan tegas dan bersepadu melibatkan semua pihak berkepentingan perlu diambil bagi mengatasi isu ini kerana ia tidak boleh ditangani secara bersendirian.


"Pihak berkuasa berkaitan perlu mengambil tindakan tegas untuk menghentikan penjualan vape kepada kanak-kanak manakala pihak sekolah pula perlu memantau dan mengadakan kempen kesedaran mengenai bahaya vape terhadap kesihatan.


"Ibu bapa pula tidak boleh melepaskan tanggungjawab kepada pihak sekolah atau pihak berkuasa. Mereka perlu memantau aktiviti anak-anak mereka bagi memastikan tidak ada yang terlibat dengan aktiviti menghisap vape," katanya ketika dihubungi Bernama.


Katanya, ketiadaan undang-undang khusus menyebabkan aspek penguatkuasaan sukar dilakukan hingga penjualan vape dilihat berleluasa meskipun ia tidak dihalang dalam kalangan golongan dewasa.


"Saya amat berharap rang undang-undang baharu berkaitan kawalan pengunaan rokok elektronik atau vape dan shisha dapat dibentang di Parlimen secepat mungkin bagi menangani masalah ini.


Sementara menunggu undang-undang baharu diperkenalkan, beliau turut menggesa semua pihak bersama-sama menjalankan tanggungjawab untuk meningkatkan kesedaran mengenai bahaya menghisap vape serta melarang ia diambil di kawasan sekolah.


"Kementerian Pendidikan dalam kenyataan pada Ahad lepas berkata berdasarkan pemantauan yang dibuat, ia mendapati jualan bahan-bahan tersebut adalah di luar kawasan sekolah. Oleh itu pihak-pihak lain juga perlu membantu usaha membanteras penggunaan vape ini," katanya.


Sementara itu, Pegawai Pendidikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang N.V Subbarow mencadangkan supaya mengharamkan penggunaan pelbagai jenis rokok elektronik supaya dapat membantu menangani masalah itu selain tidak meluluskan lesen kedai atau perniagaan yang menjual rokok elektronik.


"Sekiranya kita tidak bertindak sekarang, kita tidak akan mempunyai belia yang sihat dalam tempoh 10 tahun akan datang," katanya dan menambah jika kerajaan terus menangguh sebarang tindakan, ia akan meningkatkan jumlah pengguna muda rokok elektronik pada masa depan yang akan mendedahkan mereka kepada masalah kesihatan.


Katanya ini kerana berdasarkan Penyelidik Utama National E-Cigarette Survey (NECS) Prof Madya Dr Mohamad Haniki Nik Mohamed dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), nikotin di dalam rokok elektronik cenderung untuk memberi ketenangan dan keseronokan dalam kalangan belia berbanding orang dewasa dan ini boleh menjadi antara sebab ramai pelajar menghisap rokok elektronik.


"Kajian menunjukkan remaja lebih sensitif terhadap kesan 'baik' rangsangan nikotin seperti keseronokan, mood lebih baik dan ketenangan* Apa yang membimbangkan ialah pendedahan kepada nikotin lebih awal boleh mendorong kepada penyalahgunaan bahan seperti alkohol, kokain dan meth (methamphetamine)," katanya.


Subarrow berkata pelajar tidak begitu sedar dengan bahaya rokok elektronik dan memikirkannya selamat kerana tiada kesan tembakau di dalam kandungannya.


"Ia untuk keseronokan, melihat rakan-rakan merokok dan memberitahu yang lain bahawa ia lebih selamat daripada rokok biasa. Mereka juga mempunyai idea salah bahawa rokok elektronik dan vape tidak mempunyai tembakau di dalamnya," katanya.


Dalam pada itu, Setiausaha Kehormat Kumpulan Ibu Bapa Bertindak Untuk Pendidikan (PAGE), Tunku Munawirah Putra pula menyuarakan isu ini boleh ditangani dari rumah dengan penglibatan ibu bapa supaya mereka bertegas dengan anak-anak terutama daripada segi pergaulan.


"Mereka perlu memastikan dengan siapa anak mereka berkawan dan tahu bagaimana untuk mendidik anak mereka bahawa vape juga sama bahaya seperti merokok.


"Ibu bapa juga harus menunjukkan teladan yang sebaiknya dan bersifat terbuka serta berpengetahuan untuk mendidik anak-anak," katanya ketika dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp. - BERNAMA