Abdul Aziz Bari
ABDUL AZIZ BARI

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi,Sains dan Alam Sekitar negeri, Dr. Abdul Aziz Bari berkata, pihak yang bertanggungjawab melakukan perkara itu sepatutnya perlu mengambil kira sensitiviti masyarakat.

Menurutnya, penganjur perlu berhati-hati agar tidak berlaku perkara yang tidak sepatutnya sekiranya menganjurkan sebarang majlis.

“Saya akan bincang dengan Pengarah Pendidikan. Mungkin ada salah faham terutama yang menganjurkan aktiviti dengan kerjasama agensi kerajaan. Apabila perkara ini ditularkan, ia tak bagus.

“Mungkin ada perkara yang perlu ditekankan kembali dengan pihak yang berkenaan supaya akur dan sedar beberapa perkara yang sensitif,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar dan Latihan Tabletop Pelan Tindakan Pembersihan Pantai Negeri Perak 2019 di Marina Island Resort Pangkor di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Alam Sekitar negeri Perak, Norazizi Adinan.

Menurut Abdul Aziz, beliau percaya pihak berkenaan matang dan dewasa, jadi tidak perlulah kerajaan membuat buat garis panduan kerana ia bukan satu masalah cuma perkara ini ditularkan sahaja.

“Soal melibatkan sopan santun perlu dijaga sesama masyarakat dan setiap individu tahu perkara yang dibenarkan dan tidak dibenarkan,” katanya.

Semalam, Kementerian Pendidikan menegaskan program tersebut bukan anjurannya sebaliknya ia anjuran Persatuan Tarian Malaysia Bersatu (MUDA).

Pihak kementerian hanya membenarkan penyertaan pelajar dalam kategori murid sekolah yang tertakluk kepada peruntukan Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 8/2009 dan Bilangan 7/1988.

Selain itu, penggunaan logo kementerian hanya melibatkan kategori murid sekolah serta sijil penyertaan bagi kategori itu dan tiada kebenaran bagi penggunaan logo untuk sijil kategori-kategori lain, kain rentang serta tirai latar semasa pertandingan. - UTUSAN ONLINE