TAN SRI LEE KIM YEW
LEE KIM YEW 

Kim Yew dalam hantaran di Facebooknya hari ini berharap generasi muda tidak mengulangi kesilapan yang dilakukan oleh beliau yang terdiri daripada generasi lama.

"Saya telah membetulkan semula grafik bendera Malaysia kepada keadaan asal dan memastikannya tidak ditukar lagi. Saya ingin menasihatkan kepada generasi akan datang, berdasarkan pengalaman ini agar jangan sama sekali menukar warna, grafik atau fizikal bendera.

"Terima kasih semua untuk masuk ke Facebook saya dan membaca artikel saya dengan minda terbuka. Saya menghormati pandangan anda dan saya akan terus mencari diri dan menilai diri saya," tulis Kim Yew.

Ahli Perniagaan itu dikritik hebat oleh warganet yang menyifatkan beliau sebagai biadab kerana menukar warna putih pada Jalur Gemilang kepada warna hitam.

Tangkap layar Facebook seorang Tan Sri yang menukar warna jalur putih Jalur Gemilang.
Tangkap layar Facebook Tan Sri Lee Kim Yew yang menukar warna jalur putih Jalur Gemilang. 

Kim Yew berbuat demikian untuk menyindir Kementerian Pendidikan yang melaksanakan pengajaran Jawi di sekolah jenis kebangsaan.

Warna hitam tersebut diinspirasi daripada pelaksanaan penukaran dasar kasut berwarna putih kepada kasut berwarna hitam yang dipakai pelajar oleh Kementerian Pendidikan.

"Warna putih melambangkan kesucian dan bersih  mengingatkan kita untuk hidup bersih jauh daripada korupsi dan hidup dengan penuh bermoral.

"Ini adalah perasaan saya tentang bagaimana negara kita patut dicintai tetapi saya membuat kesilapan dengan meminta pereka grafik menyatakan perasaan saya dengan mengubah warna bendera," jelas Kim Yew.

 

Kim Yew berkata, beliau berasa sedih dengan kontroversi yang berlaku.

Menurutnya bendera kebangsaan Malaysia mempunyai makna yang mendalam dengan bintang dan bulan mewakili agama Islam, warna kuning melambangkan raja, warna biru mewakili keamanan, perpaduan dan keharmonian; warna merah pula mewakili keberanian dan warna putih pula mewakili kesucian dan bersih.-UTUSAN ONLINE