Walaupun mengakui mempunyai pendapat berbeza dalam isu kajian harga air di bawah perjanjian itu, Malaysia dan Singapura tetap komited dalam mencari penyelesaian terbaik untuk kepentingan bersama.

Ke arah itu, Malaysia-Singapura akan meneruskan perbincangan dalam usaha lebih memahami kedudukan masing-masing bagi perkara melibatkan hak mengkaji harga air di bawah perjanjian berkenaan.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin berkata, peguam negara kedua-dua negara akan terus membincangkan tentang perjanjian berkenaan dalam mencari penyelesaian terbaik.

“Kita mengulangi komitmen untuk menyelesaikan isu-isu dua hala dalam kaedah yang konstruktif dan menggalakkan usaha diplomatik berterusan untuk mencari penyelesaian terbaik untuk kepentingan bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatnya dari Singapura, Dr. Vivian Balakrishnan di sini hari ini.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 25 Jun lalu dilaporkan berkata, kerajaan akan menyelesaikan isu bekalan air dengan Singapura secara diplomatik selain akan mengkaji semula perjanjian air yang dimeterai dengan negara tersebut sebelum ini. - UTUSAN ONLINE