Pada majlis itu, anugerah tertinggi iaitu Anugerah Muhammad Al Fatih telah disampaikan kepada graduan Diploma Al-Syariah, Nur Alya Liyana Mohd Nasarudin, 21, manakala graduan Diploma Kewangan Islam, Nur Aizat Muhamad Mohmiddin, 22, pula menerima Anugerah Ibn Khaldun atas kecemerlangan masing-masing dalam akademik dan kegiatan ko-kurikulun.

Penyampaian diploma dan anugerah telah disempurnakan oleh Menteri Besar yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan Kelantan Darul Naim (Yakin), Datuk Ahmad Yakob.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Besar merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah Kias Darulnaim Sdn Bhd (KDSB), Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan Ketua Eksekutif Kias, Prof. Dr. Ab. Aziz Mohd Zin.

Terdahulu Ab. Aziz dalam ucapannya berkata, Kias kini menawarkan 13 program diploma dan satu program sijil serta dua program Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Syariah dan Usuluddin yang merupakan kerjasama dengan Kolej Universiti Insaniah (Kuin).

“Insya Allah pada November ini kita akan mulakan program Diploma Pengajian Ilmu Turath dan Diploma Tahfiz Al Quran Wal Qiraat sebaik mendapat kelulusan Malaysian Qualification Agency (MQA),” katanya. - UTUSAN ONLINE