Rupa-rupanya, Oksana juga mempunyai tarikh lahir yang sama dengan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad apabila dilahirkan pada 10 Julai 1992 di Astarakhan, Rusia.

Siapa sangka seawal usia 27 tahun, Oksana telah mencapai pelbagai kejayaan termasuk merangkul gelaran ‘Miss Moscow’ pada tahun 2015.

“Hari ini adalah hari jadi saya yang ke-27. Saya membesar dan juga bersekolah di Taganrog, daerah Rostov-on-Don.

“Semasa remaja, saya pergi ke ‘Summer School’ di Oxford untuk belajar Bahasa Inggeris. Pada 2009, saya berpindah ke Moscow dan menjadi pelajar di ‘Plekhanov Russian University of Economics’.

“Saya mendapat ijazah sarjana muda ekonomi pada tahun 2013. Pada tahun 2015, saya memenangi pertandingan ratu kecantikan ‘Miss Moscow’. Tidak lama kemudian, saya menceburi bidang industri fesyen,” kongsinya dalam laman Instagram, semalam.

Ketika melanjutkan pelajaran di ‘Moscow School of Radio and Television’, Oksana turut mencipta jenama pakaian renangnya sendiri seterusnya merangkul sijil Ijazah Sarjana dalam bidang Pengurusan pada 2016.

“Saya seorang pakar dalam pemasaran antarabangsa. Pada tahun yang sama, saya membuka salun kecantikan di Moscow.

“Pada tahun 2017, saya berpindah ke Kuala Lumpur. Saya berkahwin pada bulan Jun 2018 dan pada bulan Mei 2019, saya melahirkan anak saya Ismail Leon-Tengku Mahkota Kelantan, dan insyaAllah bakal Raja Kelantan,” katanya.

Sebelum ini, Oksana pernah berkongsikan kisah percintaan jarak jauh beliau dan Sultan Muhammad V.

“Selepas pertemuan pertama, saya dan bakal suami meneruskan komunikasi melalui telefon setiap hari. Kami ingin berjumpa sekali lagi tetapi terlalu susah disebabkan kontrak peragawati saya, dan juga kerana kami berdua tinggal berjauhan.

“Saya juga diberi kontrak satu tahun di luar Rusia oleh sebuah syarikat yang terkenal untuk bekerja sama dengan syarikat tersebut,” kongsinya.

Dalam perkongsian sama, menjadi suri hati Sultan Muhammad V dan melahirkan anak di tanah Malaysia merupakan pilihan yang tepat buat dirinya. - UTUSAN ONLINE