Beliau berkata dengan itu IPG Kampus Raja Melewar akan terus kekal sebagai institusi pendidikan guru di sini.

"Ini bermakna IPG Kampus Raja Melewar tidak akan ditutup untuk digantikan dengan KPP seperti mana yang diumumkan kerajaan sebelum ini.

"Dengan perkembangan terbaharu ini fungsi IPG Kampus Raja Melewar kekal di sini tetapi akan berkongsi kemudahan dengan KPP UKM. Bermakna, pelatih guru akan terus kekal di sini, cuma kita akan berkongsi kemudahan iaitu segala kemudahan yang terdapat di IPG Kampus Raja Melewar ini akan kita kongsi bersama dengan KPP UKM," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan terkini IPG Kampus Raja Melewar yang dikatakan akan ditutup untuk digantikan dengan KPP seperti diumumkan kerajaan dahulu.

Katanya di masa akan datang kedua-dua pihak juga mungkin mempunyai kepentingan bersama seperti program berkaitan latihan pendidikan Permata Pintar dan sebagainya.

Pada pembentangan Bajet 2017, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan sembilan IPG yang tidak digunakan akan diubah menjadi politeknik dan kolej vokasional dalam usaha mengoptimumkan aset kerajaan.

Selain itu, dua IPG sedia ada iaitu IPG Kampus Raja Melewar dan IPG Kampus Tuanku Bainun di Pulau Pinang diumumkan akan ditukar menjadi Pusat Permata sehingga mengundang bantahan banyak pihak sebelum ini.

- BERNAMA