Kesemua anak-anak yatim itu dibawa ke Gedung Tekstil Jakel Ipoh dan diberi peluang untuk memilih baju raya yang berkenan di hati sambil ditemani pegawai dan anggota dari IPD Ipoh.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd. Ali Tamby berkata, program tersebut dianjurkan oleh IPD Ipoh melalui Unit Surau di mana peruntukan bagi program itu dibiayai oleh tabung surau berkenaan.

Katanya, walaupun sibuk dengan pelbagai tugasan, namun sebagai pasukan keselamatan, pihaknya sentiasa mahu menyantuni golongan kurang bernasib baik terutama anak-anak yatim supaya mereka berasa dihargai terutama menjelang Syawal ini.

“Kami bawa anak-anak ini ke Jakel hari ini agar mereka dapat memilih sendiri baju raya yang diingini. Inisiatif ini diambil bagi memberikan rasa keterujaan untuk menyambut Aidilfitri sama seperti orang lain tanpa rasa terasing dan terpinggir.

“Ini merupakan program pertama IPD Ipoh yang dikendalikan Unit Surau dan kita berharap ia akan dijadikan acara tahunan dalam usaha kita membantu memberi keceriaan kepada golongan tidak bernasib baik ini,” katanya ketika ditemui selepas menemani anak-anak yatim itu membeli baju raya di sini hari ini.

Menurut Mohd. Ali, pihaknya juga berterima kasih kepada Jakel Ipoh kerana memberi tawaran harga istimewa bagi pembelian baju raya anak-anak yatim tersebut.

Katanya, selain membeli baju raya, anak-anak yatim itu akan turut diraikan dalam satu majlis berbuka puasa pada Jumaat ini di Masjid Panglima Kinta di sini di mana beberapa sumbangan lain akan diberikan kepada mereka.

“Kita akan cuba menjadikan aktiviti ini sebagai acara tahunan sebagai membantu mereka membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri,” katanya.-UTUSAN ONLINE