Pensyarah Kanan yang juga Pakar Dasar Media, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Muhammad Adnan Pitchan memberitahu, statistik menunjukkan sembilan daripada 10 kanak-kanak yang berumur lima hingga 17 tahun menggunakan kemudahan internet. 

"Kajian menunjukkan kanak-kanak secara puratanya melayari internet enam hingga tujuh jam sehari menyebabkan mereka berpeluang untuk belajar sesuatu perkara baharu di alam siber. 

"Kalau kita sebagai ibu bapa menetapkan masa kepada kanak-kanak sudah pasti mereka tidak akan berasa seronok dan mula mencari alternatif lain untuk mengakses pada internet. Contohnya, di luar rumah atau kafe siber.

"Hal ini lagi membahayakan kerana ibu bapa tidak akan tahu apa yang anak-anak mereka akses. Oleh itu, kaedah terbaik adalah ibu bapa perlu mengajar perkara baik dan buruk yang terdapat dalam internet," katanya ketika dihubungi Utusan Online hari ini.

Ujarnya, adalah lebih baik tidak mendedahkan kanak-kanak dengan telefon pintar dan internet sejak dari awal kerana hal ini bukan sahaja menyebabkan ketagihan untuk mengaksesnya malah akan mengganggu kesihatan seperti simptom tidak lalu makan, kerosakan mata dan komunikasi.

"Jika kita lihat ibu bapa sekarang kerap memberi telefon pintar kepada bayi untuk menghentikan mereka daripada menangis dan langkah itu sebenarnya tidak sesuai kerana hanya menyebabkan menjadi pasif apabila besar atau meningkat remaja dan dewasa.

"Pendedahan awal kepada telefon pintar dan internet hanya menyekat cara komunikasi kanak-kanak dan mereka akan menjadi takut untuk berdepan dengan orang ramai," katanya.

Tambahnya, tiada had umur yang ditentukan dalam penggunaan telefon pintar dan internet tetapi sebaik-baiknya dedahkan kepada kanak-kanak setelah mereka berusia 12 tahun.

"Memberi kebebasan itu adalah lebih baik daripada melarang tetapi kebebasan itu perlu seiring dengan didikan ibu bapa. Kebiasaannya, mereka akan belajar dari persekitaran, apa yang mereka lihat, dengar, rasa dan mereka akan mencubanya. 

"Mereka boleh baca dan lihat apa yang berlaku dalam media sosial. Jika kandungan berunsurkan kebencian pada sesuatu kaum atau menghina sesuatu agama misalnya maka mereka beranggapan itu adalah satu perkara normal dan akan mudah mengikuti perbuatan tersebut. Itu tidak baik untuk generasi muda. 

"Nasihat saya untuk ibu bapa, kita perlu baiki diri dahulu sebelum mengajar anak-anak tentang adab dan sebagainya. Internet ini satu perkara yang seronok terutama bagi kanak-kanak malah kita sendiri sukar melarang mereka untuk akses internet jika didedahkan terlalu awal dengan telefon pintar," katanya. - UTUSAN ONLINE