Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, beliau tidak mahu melihat institusi berkenaan berada dalam keadaan lemah, terpinggir atau menguncupkan peranannya dan sehubungan itu, kerajaan sedia menimbangkan apa sahaja langkah ke arah usaha menyemarakkan institusi berkenaan.

Katanya, institusi pondok masih lagi relevan dan diperlukan untuk menjaga kesucian agama daripada pelbagai ancaman luar dan dalam negara di samping bersama membantu kerajaan membentuk masyarakat Islam yang utuh dan bersatu atas nama agama.

“Apa yang kita semua mahu lihat ialah institusi pondok akan terus dapat memainkan peranan mempertahankan kedaulatan Islam aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah, menjaga kesucian agama, mendukung Perlembagaan bagi mengekalkan prinsip wasatiyyah serta mempelopori silaturahim dan perpaduan sesama umat Islam dan juga dengan bukan Islam,” ujarnya.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap menutup program Ijtimak Pondok Malaysia Ke-2 di Dewan Sultan Mizan, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di sini hari ini.

Yang hadir sama Menteri Besar, Ahmad Razif Abdul Rahman; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh; Naib Canselor UMT, Prof. Datuk Dr. Nor Aieni Mokhtar dan Pengerusi Eksekutif Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (YPPM), Datuk Dr. Mashitah Ibrahim.

Bertemakan ‘Pemantapan Institusi Pondok Melalui Wakaf’, program dua hari itu antara lain membincangkan kedudukan, permasalahan dan masa depan pondok di samping memberi penghargaan kepada para mudir, tokoh-tokoh ulama serta pondok-pondok.

Dalam majlis itu, Anugerah Khas Tokoh Ulama Terengganu diberikan kepada Tokku Paloh atau nama sebenarnya, Saiyid Abdur Rahman bin Saiyid Muhammad bin Saiyid Zainal Abidin Al-Aidrus dan pengiktirafan itu disampaikan kepada generasi keempat pejuang Islam berkenaan, Datuk Syed Abu Bakar Abdullah, 72.