Selain menghantar dua pegawai dari Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington, Wisma Putra menjelaskan, pihaknya turut mengerahkan Timbalan Ketua Setiausaha (Hal Ehwal Pelbagai Hala) untuk memberikan bantuan yang diperlukan kepada mangsa dan keluarga mereka.

“Selepas menghadiri urusan berkaitan kejadian di Wellington termasuk taklimat oleh Polis New Zealand dan Kementerian Luar Negeri dan Perdagangan Australia dan menandatangani buku takziah di Parlimen bagi pihak kerajaan pada semalam, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke New Zealand, Nur Izzah Wong Mee Choo, tiba di Malaysia Christchurch petang semalam.

“Dari segi bantuan kewangan segera, Kementerian Luar menyerahkan sumbangan peribadi rakyat Malaysia termasuk yang berada di Wellington kepada setiap keluarga petang semalam. Lebih banyak sumbangan kewangan dari pelbagai sumber dijangka disalurkan pada minggu ini,” jelasnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Berhubung bantuan kewangan dari kerajaan, jelas Wisma Putra, pihaknya telah menjelaskan kepada keluarga terlibat bahawa ia tertakluk kepada pelbagai prosedur dan peraturan kewangan.

Menurut Wisma Putra, pihaknya telah menjelaskan kepada keluarga mangsa bahawa Kerajaan New Zealand memberi jaminan bahawa semua

mangsa yang terjejas dengan kejadian tembakan berkenaan akan dilindungi oleh Perbadanan Pampasan Kecemasan Tempatan (ACC).

“Ini akan meliputi keperluan perubatan termasuk fisioterapi, pampasan kepada 80 peratus kehilangan pendapatan bulanan dan bantuan lain yang diperlukan semasa proses pemulihan mangsa.

“Mereka juga layak mendapat dana bantuan di bawah Christchurch Muslim Crisis Group dan Christchurch Shooting Victims Fund. Kami akan membantu mangsa dalam mengakses

dana yang ada untuk mereka,” jelasnya.

Berhubung dengan perkembangan tiga mangsa terlibat, Wisma Putra memberitahu, keadaan ketiga-tiga mangsa dilihat semakin baik dan menunjukkan tindak balas positif terhadap rawatan.

“Sehingga semalam, seorang rakyat Malaysia masih diklasifikasikan sebagai hilang. Pada petang semalam juga, ahli keluarga mangsa, beberapa rakyat Malaysia termasuk pelajar, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz dan para pegawai kementerian telah berkumpul untuk solat berjemaah dan bacaan Yasin,” jelasnya. - UTUSAN ONLINE