Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, dengan menggunakan Halfest Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebagai platform, be-Halal menjadi inisiatif bagi memacu pertumbuhan industri halal melalui program pembangunan holistik terhadap pemain industri halal.

Beliau berkata, ia dilaksanakan agar golongan itu mampu bersaing secara produktif dan inovatif dalam mendepani pelbagai cabaran global, baik dalam industri halal mahupun dunia perdagangan yang penuh mencabar.

Untuk permulaan, kata Wan Azizah, sebanyak 50 pemain industri halal akan dipilih menyertai program be-Halal oleh sekretariat.

“Para perserta be-Halal akan dibangunkan melalui program yang dikendalikan oleh pakar dari pelbagai latar belakang untuk menyumbang kepada peningkatan industri halal negara.

“Menjadi satu impian dan cita-cita saya apabila menerajui Majlis Halal Negara ini untuk meningkatkan keupayaan serta kapasiti industri halal negara ke peringkat lebih berdaya saing,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap pada majlis perasmian Halfest Jakim 2019 di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Mines di Seri Kembangan, dekat sini hari ini.

Yang turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof.

Halfest berlangsung selama lima hari bermula Rabu lalu dengan menarik lebih 80,000 pengunjung.

Pameran itu turut menampilkan lebih 450 usahawan dengan 500 ruang pameran.

Produk-produk yang dihasilkan ialah makanan dan minuman, farmaseutikal, barangan penjagaan diri, kosmetik, takaful dan pelaburan berstatus halal.

Tambah Wan Azizah, pihaknya mengucapkan tahniah dan syabas kepada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) kerana memastikan asnaf yang terbabit dalam industri halal dapat diberi peluang dan disokong untuk meningkatkan keupayaan mereka dalam program pembangunan Asnafpreneur.

“Saya difahamkan MAIWP akan bekerjasama dengan sekretariat Halfest Jakim bagi membuka ruang kepada 100 syarikat halal dalam kalangan golongan yang memerlukan sokongan, untuk diberi peluang penyertaan.

“Saya berhasrat untuk melihat lebih ramai asnaf beraksi di dalam Halfest pada tahun-tahun ke hadapan, dibantu oleh syarikat-syarikat yang mengeluarkan zakat,“ katanya.

Menurut Wan Azizah, pendekatan sebegini harus dijadikan model yang boleh diikuti oleh semua majlis agama Islam di Malaysia sebagai satu strategi bukan sahaja mengeluarkan asnaf daripada terus menjadi golongan fakir dan miskin, malah menjadi pembayar zakat pada masa akan datang.

-habis-