Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof berkata, inisiatif Pondok Moden Model Malaysia itu sedang dirangka oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan diyakini akan menjadi alternatif terbaik dalam menangani gejala sosial.

"Inisiatif ini dapat memanfaatkan 158 buah pondok yang berdaftar di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jakim, yang mana kita akan ada satu sistem penyelarasan yang sekata dan efektif dari segi kurikulum dan tadbir urus," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Konvensyen Pondok Kebangsaan di Institut Latihan Malaysia dekat sini hari ini.

Pada masa sama, Mujahid meminta PBT membantu institusi pondok dan tahfiz yang belum berdaftar agar berbuat demikian demi memastikan mereka tidak tercicir daripada inisiatif tersebut serta bantuan kewangan yang diberikan kerajaan.

"Tahun ini kerajaan telah luluskan RM25 juta dan RM50 juta masing-masing untuk penambahbaikan infrastruktur institusi pondok dan tahfiz, dan kita tambah RM2.25 juta untuk insentif pendaftaran institusi pondok dan tahfiz.

"Kita harap PBT boleh bantu mana-mana institusi pondok dan tahfiz yang belum berdaftar untuk berdaftar supaya mereka dapat segala kemudahan dan bantuan kewangan yang kerajaan sediakan untuk kegunaan mereka," kata Mujahid.

Konvensyen selama sehari yang julung kali diadakan itu dihadiri kira-kira 200 guru dan pelajar daripada 151 institusi pondok di seluruh negara. - BERNAMA