BUNG MOKTAR RADIN

Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin malah menganggap tindakan Tommy itu memberi gambaran seolah-olah ada agenda belakang tabir dalam kes tersebut.

Sebagai Peguam Negara pertama di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH), kata Bung Moktar, imej baharu yang sepatutnya dibawa Tommy adalah membiarkan ketelusan undang-undang menentukan proses hala tuju kes Muhammad Adib.

Jelas beliau, Tommy tidak sepatutnya cuba menjatuhkan ‘hukuman awal’ kepada kes ini melalui permohonan afidavit serta arahan pertukaran peguam.

“Satu demi satu percanggahan berlaku seolah-olah memperlihatkan ada sesuatau yang mahu disembunyikan dan jika benar berlaku, apakah ia baik untuk imej Jabatan Peguam Negara? Inikah wajah perundangan negara di bawah Malaysia baharu?

“Tommy harus sedar tragedi kematian Muhammad Adib sejak awal lagi adalah kes sensitif sehingga menyebabkan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bertindak menyerahkan memorandum kepada kerajaan supaya seorang menteri dan timbalan menteri dipecat kerana dilihat menyebelahi pengurusan kuil,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Isnin lalu, peguam Syazlin Mansor menarik diri daripada mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam prosiding inkues kematian Muhammad Adib.

Tindakan itu mencetuskan persoalan banyak pihak memandangkan tempoh inkues hanya berbaki beberapa hari selain menimbulkan tanda-tanya berhubung tindakan Peguam Negara yang baru sekarang mempersoal kredibiliti Syazlin.

Tambah Bung Moktar yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO, kes melibatkan kematian Muhammad Adib seharusnya diurus dengan baik kerana boleh berubah menjadi isu perkauman.

Dalam hal berkenaan, jelas Bung Moktar, tidak relevan jika kes tersebut dikendalikan Tommy atau pasukannya jika beliau sendiri dilihat berat sebelah atau melakukan sesuatu tindakan prejudis dan sebaiknya diuruskan oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).

“Sudah terlalu lama kes ini tergantung keputusannya. Harus diingat Muhammad Adib tidak minta kematiannya jadi sebegini.

“Dia seorang anggota bomba yang baik dan ke tempat kejadian dengan niat mahu memadamkan api, menyelamatkan nyawa dan membantu mangsa kebakaran di sebuah kuil. Kenapa kita yang masih hidup ini menyulitkan proses keadilan untuk beliau?” ujar beliau. - UTUSAN ONLINE