TANGKAP layar akaun Facebook milik Yeo Bee Yin mengenai dakwaan Siti Nurbaya berhubung jerebu. - UTUSAN ONLINE

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin berkata, adalah lebih baik data-data daripada ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) menjelaskan situasi sebenar.

“Data terbaru menunjukan jumlah titik panas yang direkodkan ASMC adalah Kalimantan 474, Sumatera (387) berbanding Malaysia hanya tujuh,” katanya dalam status akaun Facebook miliknya, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Bee Yin turut mempersoalkan Siti Nurbaya mengenai dakwaannya bahawa jerebu yang berlaku adalah berpunca daripada Sarawak.

“Lihat sahaja arah angin. (gambar empat). Adakah ia logik?” katanya.

Terdahulu, Siti Nurbaya mendakwa jerebu yang melanda Malaysia bukan berpunca dari Indonesia, sebaliknya dari Sarawak dan menggesa supaya kerajaan tidak menuding jari menyalahkan negara tersebut. - UTUSAN ONLINE