Senyumannya tidak putus-putus, malah bertambah lebar tatkala menerima ucapan tahniah pelbagai pihak kerana berjaya menamatkan pengajian sekali gus layak menerima Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kepujian) Kewangan.

Ketika ditemui pemberita, Muhammad Syafiq yang merupakan pelajar program Pengajian Jarak Jauh (PJJ) mengakui, kudratnya terhad kerana memiliki lumpuh dari paras pinggang hingga ke kaki dan terpaksa mengunakan kerusi roda untuk bergerak.

Katanya, biarpun tidak sempuna seperti insan lain, dia tetap mempunyai impian sendiri termasuk untuk menyambung pengajian di menara gading dan mempunyai segulung ijazah.

Jadi pada 2013, dia nekad memilih program PJJ ditawarkan di UiTM kerana tidak mahu menyusahkan keluarga dan rakan-rakan memandangkan pergerakannya terbatas dan perlu dibantu hampir setiap masa.

“Ketika dilahirkan, saya sebenarnya normal. Saya mula lumpuh sejak berusia dua tahun enam bulan kerana terjatuh ketika bermain. Sejak kejadian itu separuh badan saya tidak boleh bergerak.

“Jadi saya bergantung kepada ibu, Sawiah Harun,60, untuk berulang-alik daripada Kuala Krai Ke UiTM setiap dua kali sebulan untuk ke kuliah ketika membuat program PJJ ini,” katanya.

Seramai 625 graduan menerima diploma dan ijazah masing-masing yang disampaikan oleh Pro Canselor UiTM, Tun Datuk Seri Panglima Ahmadshah Abdullah.

Dalam pada itu, Muhammad Syafiq berkata, kejayaan hari ini dihadiahkan kepada ibu dan arwah bapa, Mohd. Azlan Mohd. Zain yang telah meninggal dunia sejak 2005 akibat sakit jantung dan buah pinggang kronik.

“Buat masa sekarang, saya ingin membalas jasa ibu dahulu. Sekarang saya sedang bekerja sendiri dari rumah dengan melakukan suntingan pada video dan gambar pelanggan,” katanya.

Siti Noratirah Othman

GRADUAN Diploma Pengajian Perbankan, Siti Noratirah Othman, 22, (tengah) bergambar kenangan bersama keluarga Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Kelantan kali Ke- 90, hari ini. - UTUSAN ONLINE/Nuraikha Sharipul Bahari

Sementara itu, seorang lagi graduan Diploma Pengajian Perbankan, Siti Noratirah Othman, 22, yang juga penerima Anugerah Naib Canselor (ANC) dengan CGPA 3.78, bangga dengan kejayaan itu dan nekad mahu mengubah nasib keluarganya yang miskin.

“Saya merupakan anak kedua dan satu-satunya harapan keluarga yang menjejakkan kaki ke universiti. Jadi, saya tekad untuk belajar bersunguh-sunguh bagi membalas jasa ayah yang hanya bekerja sebagai buruh kasar bagi menyara saya dan empat lagi adik yang masih bersekolah.

“Kunci kejayaan saya adalah restu ibu bapa sendiri, saya akan meminta restu dan doa ibu dan ayah dahulu sebelum menduduki sebarang peperiksaan, “ katanya.

Siti Noratirah yang bercita-cita ingin menjadi pegawai kewangan berkata, dia juga selalu membuat solat hajat dan mengamalkan surah Al-Mulk dalam rutin hariannya supaya hidupnya sentiasa diberkati dan dipermudahkan. - UTUSAN ONLINE