Muhammad Khuzaimy Raykhal Khuzaine Rusli dapat menzahirkan kegembiraan apabila dia diberi peluang itu oleh pihak Markas 2 Briged Infantri di Batalion Kedua Rejimen Renjer DiRaja (2 RRD) di Kem Syed Sirajuddin di sini.

Dia yang menetap di Taman Seri Rapat, Ipoh di sini tiba di kem tersebut ditemani kedua-dua ibu bapa dan dua adiknya disambut Panglima 2 Briged, Brigadier Jeneral Malek Razak Sulaiman.

Turut mengiringi ialah wakil pertubuhan bukan kerajaan, Make A Wish Malaysia yang diketuai oleh Caroline Christopher.

Rasa teruja jelas terpancar pada wajah kanak-kanak ini apabila Malek Razak memakaikan t-shirt dan ‘summer cap’ colereng sebelum membawanya meronda sekitar kem menaiki kenderaan pembawa senjata jenis Vamtac.

Selain itu, dia turut berpeluang untuk berkawad, melihat cara-cara memasak rangsum tempur dan demonstrasi merempuh halangan serta pameran senjata.

Malek Razak ketika ditemui memberitahu, pihaknya amat berbesar hati apabila dapat melengkapkan impian Muhammad Khuzaimy Raykhal sekali gus memberikan kegembiraan kepada kanak-kanak itu.

“Apa yang kita lakukan ini adalah sejajar dengan ungkapan ‘tentera dan rakyat berpisah tiada’.

“Dalam masa yang sama, pelaksanaan acara ini bertepatan dengan suasana sambutan bulan kemerdekaan yang sedang berlangsung,” ujarnya.

Sementara itu, bapa kanak-kanak tersebut, Khuzaine Rusli merakamkan penghargaan kepada pihak Markas 2 Briged dan Tentera Darat khasnya kerana merealisasikan hasrat anaknya.

“Saya dan keluarga amat terharu atas kesudian pihak tentera menunaikan impian Muhammad Khuzaimy Raykhal. Majlis ini benar-benar meninggalkan kenangan manis.

“Kami juga mengharapkan doa semua pihak agar dapat memberikan semangat dan kekuatan kepada Muhammad Khuzaimy Raykhal dalam melawan penyakit yang dihidapinya,” katanya. - UTUSAN ONLINE