MUKADIMAH

Majalah 'Crescent' yang terbit di Kanada dan dilaporkan dibiayai oleh Iran, baru-baru ini menggesa PAS supaya belajar dari revolusi Iran, seruan itu dibuat dalam satu ulasan mengenai pilihanraya di Malaysia baru-baru ini.

Minggu ini Mingguan Malaysia menyiarkan temubual Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad dengan majalah Impact International yang terbit di London dan telah sekian lama memuatkan berita dan rencana mengenai pelbagai perkembangan dalam dunia Islam. Majalah tersebut diterbitkan dua kali sebulan, dan menyiarkan “Pandangan kaum Islam mengenai hal ehwal semasa”. - Pengarang.

Apakah cita-cita atau impian Dr. tentang Malaysia, iaitu Malaysia yang bagaimanakah yang ingin Dr. wujudkan?

Dengan soalan yang semudah ini, anda mungkin telah memberi dorongan yang secukupnya kepada Dr. Mahathir Mohamad untuk memperbincangkan setiap perkara yang indah dan baik yang ingin beliau laksanakan di negara ini di bawah pucuk pimpinannya sendiri.

Respon kepada soalan yang mudah seumpama ini dapat membantu anda membuat satu pendapat awal tentang jiwa dan kebolehan Dr. Mahathir sebagai seorang ahli politik atau negarawan. Tetapi Perdana Menteri nampaknya bukanlah seorang yang bertindak sekadar menonjol-tonjolkan cita-cita atau impiannya sahaja seperti mana yang sering ditunjukkan dalam sikap kebanyakan ahli-ahli politik dalam dunia Islam. Beliau nampaknya lebih mengutamakan atau lebih mempercayai ‘pencapaian’ daripada ‘impian’.

“Ada perbezaan di antara impian dan pencapaian. Kita semua memang mahu agar Malaysia menjadi sebuah negara yang makmur, di mana para penduduknya hidup aman sentosa, riang gembira, bersatu padu dan menikmati hak-hak persamaan.

“Tetapi saya ragu-ragu sama ada impian itu dapat dilaksanakan. Jadi apa yang sedang kami cuba lakukan sekarang ialah mempraktikkan apa yang dapat dipraktikkan: Untuk cuba memastikan bahawa para penduduk di negara ini, tanpa mengira kaum Melayu, Cina atau India atau beragama Islam atau bukan Islam, haruslah menganggap kehidupan sebagai satu kemuliaan di samping berusaha dengan harapan untuk menjadikan diri mereka dan taraf hidup mereka lebih bererti dan sempurna dan seterusnya bebas dari perasaan bimbang terhadap penindasan.

“Dari segi ekonomi, kami mahu setiap penduduk berasa bahawa mereka mempunyai hak perkongsian yang sama rata dalam kekayaan di negara mereka, iaitu perkongsian yang datangnya dari usaha dan ketekunan mereka sendiri.

“Bagaimanapun, kami tidak menganggap kekayaan kebendaan sebagai sesuatu yang tidak penting, tetapi kami mahu satu perseimbangan yang sama diwujudkan antara pencapaian-pencapaian kebendaan dan pencapaian-pencapaian kerohanian. Kami berharap agar para penduduk di negara ini akan hidup dalam suasana harmoni dan maju.”

Dr. Mahathir Mohamad diberi penerangan mengenai pelan Bandar Tun
Dr. Mahathir Mohamad diberi penerangan mengenai pelan Bandar Tun Abdul Razak selepas perasmian bandar itu di Kuala Lumpur pada 2 Februari 1982. - ARKIB UTUSAN

Banyak tafsiran

Keharmonian dan kemajuan adalah kata-kata yang indah tetapi ia juga mempunyai pertalian yang amat erat dengan penyertaan para penduduk dalam struktur politik di negara ini dan juga kualiti hak-hak asasi manusia yang dinikmati oleh para penduduk.

Pengalaman dunia Islam dalam aspek ini begitu cetek. Jadi apakah idea-idea dan objektif-objektif Dr. Mahathir dalam perkara ini?

Perdana Menteri menaruh kepercayaan bahawa ‘demokrasi’ mempunyai banyak tafsiran. Jelasnya beberapa buah negara pada umumnya menganggap keadaan tidak demokratik sebagai demokratik.

Di beberapa buah negara misalnya, hak kebebasan bercakap tidak diberikan kepada para penduduk dan kita tidak pernah melihat sebarang pilihanraya yang sebenarnya diadakan, tetapi mereka masih menganggap diri mereka sebagai ‘Republik Demokrasi’. Daripada itu demokrasi bererti berlainan perkara bagi berlainan orang di berlainan tempat pada berlainan masa.”

Dengan tegasnya Dr. Mahathir berkata “kebebasan mutlak tidak pernah wujud. Itu bererti lesen. Dan ia akan hanya berakhir dengan anarki. Keadaan seperti di Amerika Syarikat di mana seorang pegawai kerajaan membawa keluar dokumen sulit negara, kemudian mendedahkan kandungannya kepada pihak akhbar dan terlepas daripada sebarang tindakan sudah tentu akan menghancurkan sebuah negara seperti Malaysia.”

“Kerajaan tidak boleh berfungsi dari dalam rumah kaca. Ia perlu melaksanakan tanggungjawab-tanggungjawab yang tertentu secara sulit demi untuk kepentingan rakyatnya sendiri.”

“Dari itu”, kata Dr. Mahathir, “dalam demokrasi, sekatan-sekatan yang munasabah dan berpatutan mestilah diadakan”. Kedua, katanya, hak demokrasi tidak pernah diamalkan untuk membenarkan seseorang itu menggunakan demokrasi bagi menghancurkan nya.

“Misalnya, satu-satunya sebab kenapa kami mengharamkan Parti Komunis di Malaysia ialah sekali ia berkuasa melalui pilihanraya, ia pasti akan membasmi kan pilihanraya dan demokrasi seperti yang kita sama-sama maklum. Hak-hak demokrasi kita tidak diberikan kepada golongan yang mahu menghancurkan demokrasi.”

Sedikit kontroversi timbul dalam kenyataan bahawa kebebasan tidak boleh dipraktikkan secara “mutlak”. Apa yang lebih membimbangkan rakyat jelata ialah kedudukan Dr. Mahathir, iaitu hak-haknya terhadap kuasa. Di mana kedudukannya andai kata hak-haknya dirampas atau beliau disalah tuduh atau teraniaya.

Inilah satu perkara yang telah menimbulkan ketegangan dan kedukaan dalam masyarakat kita.

“Ya, perkara itu memang benar. Sebagaimana yang anda ketahui dulu, saya sendiri telah terancam akan kehilangan kebebasan saya sendiri akibat bangkangan saya terhadap kerajaan. Tetapi saya dapati mereka tidak bertindak secara melulu sebaliknya dengan penuh teliti dan berhati-hati.

Beginilah cara yang dipraktikkan di Malaysia pada setiap masa. Hak-hak individu terhadap proses pengadilan dilindungi dan dipelihara sepenuhnya di bawah perlembagaan.

Jika kerajaan percaya ada satu kes yang memerlukan penahanan seseorang, maka ia mestilah menerangkan sebab-sebabnya. Orang-orang individu berhak mengemukakan pandangan mereka melalui satu proses pengadilan.

Kita tentu faham bahawa langkah-langkah yang amat tegas kadangkala perlu diambil di bawah keadaan-keadaan tertentu dalam usaha membanteras kegiatan-kegiatan subversif tetapi sebagai sebuah kerajaan demokrasi, ia haruslah mempertimbangkan kes-kes itu dengan berhati-hati dalam usaha melenyapkan sebarang kegentaran dan kebimbangan dalam kehidupan rakyat jelata.”

Kegentaran dan kebimbangan timbul di Malaysia akibat implikasi-implikasi yang meluas daripada penguatkuasaan Akta Pertubuhan bulan Ogos lalu dalam mana seorang kakitangan awam, iaitu pendaftar pertubuhan-pertubuhan, diberi kuasa mutlak untuk mendaftarkan atau membatalkan dan mengisytiharkan mereka sebagai pertubuhan-pertubuhan politik atau mengarahkan pengambilalihan mana-mana pertubuhan kebajikan atau sukarela, persatuan, kelab atau kumpulan-kumpulan persaudaraan dengan hanya berdasarkan kepuasan ‘pentadbirannya’.

Tidak terlintas

Dr. Mahathir Mohamad melawat kilang traktor Charoenchai di wilayah
Dr. Mahathir Mohamad melawat kilang traktor Charoenchai di wilayah Ayudhaya, Thailand pada 10 Disember 1982. - BERNAMA/ARKIB UTUSAN 

Adalah dipercayai bahawa akta itu tidak direstui oleh Dr. Mahathir semasa ia dikuatkuasakan. Bagaimanapun, buat masa ini, beliau nampaknya tidak bersedia untuk menarik balik atau meminda akta tersebut. Beliau menekankan bahawa “adil atau tidaknya sesuatu undang-undang itu bergantung bukan kepada ketegasannya tetapi kepada cara ia dilaksanakan.

Kerajaan tidak pernah berniat untuk menindas atau menyekat kebebasan para penduduk dalam sebarang cara sekalipun. Anda boleh lihat sendiri bahawa walaupun undang-undang itu telah dikuatkuasakan, tetapi tak ada seorang pun atau mana-mana pihak yang dihukum di bawah akta tersebut.

Tugas kerajaan adalah untuk melaksanakan undang-undang mengikut cara yang tidak menimbulkan sebarang kegentaran atau penganiayaan dan saya akan memastikan agar ketidakadilan terhindar dalam pelaksanaan undang-undang itu.”

Sikap begini memanglah dipuji tetapi tidak memuaskan. Kuasa eksekutif masih meluas. Dan akta itu tidak mengendalikan kes peribadi Perdana Menteri. Ia lebih banyak menumpukan perhatian kepada birokrasi tetapi menurut Dr. Mahathir:

“Birokrasi berada di bawah kuasa dan arahan kami. Kamilah yang membuat keputusan. Birokrasi perlu menjalankan arahan yang diberikan oleh wakil-wakil rakyat yang dilantik. Jika tindakan wakil-wakil rakyat tidak disukai oleh orang ramai, maka mereka pasti akan disingkirkan.”

Perdebatan diteruskan. Tidakkah ia lebih meyakinkan seandainya proses itu turut melibatkan pengadilan? Lagipun bukankah akta itu terbukti sebagai merugikan kerajaan daripada menguntungkannya?

Sebagai jawapannya, Dr. Mahathir berkata: Berilah masa kepada saya menunjukkan bahawa akta itu tidak menimbulkan sebarang bahaya kepada sesiapa. Anda kenalah tunggu dahulu untuk mengetahui kerajaan apakah kerajaan kami ini!

Daripada isu-isu kebebasan dan hak-hak asasi manusia, perbincangan beralih pula kepada soal Islam. Jika tidak kerana penghijrahan dan kemasukan sejumlah besar orang-orang bukan Islam dari Cina dan India semasa zaman penjajah dulu, Malaysia sudah tentu menjadi sebuah negara di mana kesemua para penduduknya adalah pengikut-pengikut Islam seperti di negara jiran Indonesia. - UTUSAN ONLINE

 

  • Wawancara penuh dapat diperoleh dengan melanggani e-paper Utusan Malaysia menerusi www.digital.utusan.com.my atau muat turun aplikasi di Google Play atau App Store