Menurut Menteri Kewa­ngan Lim Guan Eng, pemegang saham utama PLUS Malaysia iaitu Khazanah Nasional dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang tidak bersetuju de­ngan tawaran dikemukakan oleh Maju Holdings.

Tidak pasti apakah alasan pemegang-pemegang saham tersebut, namun membuatkan rakyat terta­nya-tanya bukankah Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah ‘menegur’ Khazanah supaya kembali kepada tujuan asal penubuhannya iaitu meningkatkan pemilikan saham Bumiputera.

Dr. Mahathir dalam satu siri temubual pada tahun lalu menyatakan kerajaan akan menilai semula pemilikan saham Khazanah dalam beberapa syarikat bagi mengembalikan semula peranan asal sayap pelaburan kerajaan itu.

Sebagai Perdana Menteri, bukankah kata-kata Dr. Mahathir itu seharusnya menjadi dasar kerajaan dan disambut oleh syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC) supaya tidak mendominasi pasaran me­ngatasi syarikat swasta atau persendirian.

Jika Khazanah dan KWSP menolak tawaran Maju Hol­dings itu, apakah alasannya? Adakah tawaran itu akan menyebabkan kadar tol meningkat atau sekadar mengurangkan keuntungan pemegang-peme­gang saham sedia ada.

Malah berdasarkan laporan, Maju Holdings dikatakan mengemukakan empat tawaran kepada kerajaan dan kesemuanya bergantung kepada pelanjutan tempoh konsesi lebuh raya berkenaan termasuk cadangan pengurangan kadar tol antara 25 peratus dan 30 peratus dengan balasan mendapatkan pelanjutan tempoh konsesi.

Rakyat akan faham penolakan dibuat jika tawaran swasta itu datangnya daripada sebuah syarikat tidak dikenali dan sekadar mengharapkan pelaburan daripada pihak ketiga, tetapi Maju Holdings merupakan antara syarikat berpe­ngalaman dalam infrastruktur melalui pengoperasian Maju Expressway (MEX) yang meng­hubungkan Kuala Lumpur dengan Cyberjaya dan Putrajaya.

Kerajaan seharusnya tidak berdolak-dalik dalam isu sebegini kerana mencetuskan kekeliruan apakah Pakatan Harapan (PH) benar-benar mesra pelabur atau masih teragak-agak dalam memenuhi segala janji yang dibuat.

Kata-kata Dr. Mahathir yang sebelum ini menegur GLC kerana tidak mengikut tujuan asal penubuhan masing-ma­sing sedikit sebanyak mungkin menggembirakan rakyat dan pelabur yang mungkin membuka peluang ekonomi kepada keseluruhan rakyat Malaysia. - UTUSAN ONLINE