Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Supritendan Kamarulzaman Jusoh berkata, berdasarkan analisis cap jari, polis hanya dapat mengesahkan mangsa terbunuh adalah seorang lelaki dan seorang wanita dewasa manakala seorang lagi mangsa dipercayai remaja.

"Sehingga kini belum ada waris yang tampil melaporkan kehilangan ahli keluarga.

"Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan polis," katanya di sini hari ini.

Menurut Kamarulzaman, mayat semua mangsa masih ditempatkan di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6 pagi itu, tiga ditemukan rentung selepas kereta Proton Wira dinaiki mereka terbakar dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan termasuk dua buah lori di Kilometer 43 Jalan Temerloh-Bahau dekat Mengkuang di Bera.

Identiti ketiga-tiga mangsa terbabit belum dapat dikenal pasti ekoran kebakaran berkenaan. - UTUSAN ONLINE