Menurutnya, jika tiada sebarang pengisytiharan cadangan ICERD ditarik balik, tidak mustahil orang Melayu yang marah akan mengamuk.

“Kita tahu ICERD ada dalang dari dalam dan luar. Orang Melayu ada satu sifat dalam kamus Inggeris iaitu amuk, jangan sampai orang Melayu amuk.

“Tapi kalau amaran tak diendahkan, UMNO dan Pas akan bersatu. Ini bukan sebarang amaran, jangan main-main kalau mahu perkataan amuk dilakukan. Jangan minta, amaran bukan sekadar amaran kalau tak percaya cuba,” katanya ketika berucap dalam Himpunan Perpaduan Ummah yang dihadiri lebih 30,000 orang di pekan Kampung Gajah di sini semalam.

Ahmad Zahid turut me­ngumumkan, UMNO akan menyokong perhimpunan besar-besaran orang Melayu anjuran Pas untuk membantah cadangan meratifikasikan ICERD di Kuala Lumpur pada 8 Disember ini.

Menurut Ahmad Zahid, UMNO dan Pas akan bergabung bagi menjayakan perhimpunan bantahan ICERD tersebut selain semangat serta kerjasama dua parti Melayu dan Islam itu akan berterusan.

“Ya kita silap dulu, bergaduh semasa sendiri. Selama 22 tahun 'atuk' memerintah, dia ajar kami benci dengan Pas, dia ajar kami benci dengan DAP, dia ajar kami benci dengan lain-lain parti.

“Bersama saya dan rakan-rakan kita bercantumlah semu­la. Kita ketepikan perbezaan dalam kalangan kita atas nama Islam, Melayu, Malaysia dan bumiputera Sabah dan Sarawak,” katanya.

Ahmad Zahid menegaskan, UMNO dan Pas menolak ratifikasi ICERD kerana ia diperke­nalkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menolak perkauman di bawah dasar aparteid di Afrika Selatan.

“Tetapi sejak dahulu lagi kerajaan Malaysia tidak menindas mana-mana kaum, jadi jangan silap atas nama kesamarataan maka kita harus bangun dan menolak ICERD,” katanya.