Salihah Ishak yang tinggal di Kuala Kedah, di sini juga terpaksa membesarkan dua daripada lima anaknya yang berstatus orang kurang upaya (OKU).

Kata wanita itu, dia akan kembali kepada rutin hariannya iaitu mengayuh basikal sejauh lima kilometer untuk ke pelantar ikan bagi mengambil upah menyiang ikan seperti mana dilakukannya tiga tahun lalu.

“Sebelum ini saya terpaksa berhenti kerja bagi menjaga suami, Md. Khir Hussien yang terlantar akibat lumpuh seluruh badan selepas diserang strok.

“Jadi, selepas kematian suami minggu lalu saya kena kembali bekerja kerana duit pencen tinggalan suami hanya cukup-cukup untuk menampung kehidupan kami sekeluarga.

“Walaupun ada yang membantu semasa suami saya terlantar sakit dahulu, tapi sekarang dia sudah tiada dan saya tidak boleh terus mengharapkan ihsan orang selagi ada kudrat," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Selain anak OKU iaitu Mohd. Ridzuan Md. Khir, 22, dan Nurul Nadia, 15, Salihah juga perlu memastikan anak keempatnya yang kini berada di tingkatan lima dapat menghabiskan pelajarannya kerana dia satu-satunya harapan keluarga.

“Mohd. Ridzuan dan Nurul Nadia memang menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tetapi saya tak mahu gunakan duit mereka, biarlah duit itu disimpan supaya apabila saya tiada nanti sekurang-kurangnya mereka ada duit.

“Dua lagi anak lelaki berusia 30 dan 27 tahun pula masing-masing tidak mempunyai kerja tetap tetapi kadang-kala dapatlah membantu apa yang patut,” ujarnya.

Orang ramai yang ingin membantu keluarga berkenaan boleh menghubungi anak Salihah, Mohd. Nazrin di nombor 0174894655 atau menyumbang menerusi nombor akaun BSN Salihah (0210841000070234). -UTUSAN ONLINE