Pengerusi Pertubuhan Muafakat Harapan Malaysia (Muafakat) Kelantan, Azran Deraman berkata, langkah tersebut dapat menggalakkan golongan itu memberi sumbangan kepada sekolah anak masing-masing.

Secara tidak langsung katanya, ia mampu menyelesaikan masalah kekurangan dana yang sedang dihadapi kebanyakan PIBG di sekolah-sekolah seluruh negara hari ini.

"Diharap pihak Menteri Pendidikan dan Menteri Kewangan dapat melihat perkara ini dan mempertimbangkan cadangan membenarkan pelepasan cukai sehingga RM200 kepada ibu bapa yang membuat sumbangan kepada PIBG," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat PIBG dan Penyampaian Duit Bantuan Persekolahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Ayer Chanal, di sini hari ini.

Azran dalam pada itu berharap Kementerian Pendidikan dapat memberikan tumpuan segera dalam menyelesaikan masalah kemudahan bilik darjah, kelengkapan pembelajaran dan akses jalan yang masih lagi daif di kawasan pedalaman negeri ini

Kata beliau, antara isu lain yang wajar diberi tumpuan segera pihak kementerian ialah permohonan pertukaran guru-guru yang menghadapi masalah keluarga, masalah kesihatan dan masalah penempatan.

"Umum mengetahui permasalahan permohonan pertukaran guru-guru merupakan isu yang tidak dapat diselesaikan dengan baik hingga kini. Luahan dan kekecewaan mereka boleh kita lihat di media sosial seperti Facebook, Whatsapp atau lain-lain.

"Bagi pembangunan jangka panjang atlet sukan Malaysia, saya harap Kementerian Pendidikan dapat berusaha mengupayakan semula kemudahan sukan dengan mewujudkan Pusat Kecemerlangan Sukan Berprestasi Tinggi di sekolah-sekolah terpilih," katanya.

Kata beliau, kunjungan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik ke negeri ini, esok diharap membawa beberapa berita gembira buat warga pendidik di Kelantan. - UTUSAN ONLINE