Pada majlis itu, pesara agensi kerajaan, Ibrahim Harun, 62, dari Perut Ara Menteri Kampung Mengkan akan dikerjankan sebagai Dato' Menteri yang baharu menggantikan Ismail Mohd. Zain.

Dato' Shahbandar Mohd. Rathi Shamsudin berkata, Dato' Ombi Pangkal Maharaja Lela (Dato' Ombi) Kadim Kidam sebagai Dato' Lembaga Delapan Luak Jelebu yang kanan telah mengisytiharkan Ibrahim sebagai penyandang jawatan Dato' Menteri.

Beliau yang juga Setiausaha Dato' Lembaga Delapan Luak Jelebu berkata, Ibrahim telah mendapat sokongan daripada Anak-anak Buah dan Ibu Sokonya dengan restu Buapaknya, Tok Siamar Dagang, Mohammad Taib untuk diangkat sebagai Dato' Menteri yang baharu.

"Pada majlis kerjan itu, Dato' Ombi juga akan mengisytiharkan Ibrahim sebagai penyandang Pemangku Dato' Mendika Menteri Akhirulzaman, Undang Luak Jelebu ke-16.

"Pengisytiharan ini selaras dengan susur galur adat Luak Jelebu serta sesuai dengan peruntukan Perkara X1V Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan 1959," katanya di sini hari ini.

Mengenai kedudukan Ismail sebagai penyandang jawatan itu, Mohd. Rathi berkata, Dato' Ombi berhak melantik Dato' Menteri yang baharu berdasarkan keputusan Dewan Keadilan dan Undang negeri supaya Luak Jelebu melakukan semula proses pelantikan Undang Luak Jelebu ke-16.

"Dalam hal ini, Dato' Ombi sebagai dato' lembaga kanan yang diamanahkan mengambil tanggung jawab itu boleh melantik Dato' Menteri baharu berdasarkan kepada amalan pusingan pesaka bergilir," ujarnya.

Sementara itu, Utusan difahamkan, Ismail telah dipanggil oleh Ahli Dewan Keadilan dan Undang negeri, Datuk Dr. Razali Ab. Malik yang juga Setiausaha Kerajaan negeri untuk menjelaskan dakwaan salah laku adat sebelum ini.

Secara berasingan, Kadim juga telah dipanggil oleh Razali untuk menjelaskan sebab Ismail tidak layak menyandang Dato' Menteri secara bertulis. - UTUSAN ONLINE