Jemaah dari kumpulan penerbangan KT1 dan KT2 itu diberi taklimat di surau di Hotel Abraj-Janadriyah terlebih dahulu selepas tiba dari Madinah menaiki bas petang semalam.

Menunaikan umrah merupakan kewajipan kepada jemaah yang melakukan Haji Tamattu dan jemaah dari Madinah akan melakukan niat umrah mereka di Miqat Bir Ali dalam perjalanan ke Mekah.

Bagi menyempurnakan umrah pertama mereka, jemaah yang di dalam ihram telah melakukan tawaf dan sai tujuh pusingan dan diakhiri dengan tahalul.

Pengurus Maktab 77 Hotel Abraj-Janadriyah, Mohd. Nasir Mohd. Yusuf berkata, proses melakukan umrah jemaah malam tadi berjalan lancar dan tiada laporan kejadian jemaah gagal kembali ke hotel.

Bagi jemaah Aziz Husin, 73, dari Baling, Kedah, proses melakukan umrah malam tadi berjalan lancar dan dia berjaya menamatkannya pada kira-kira pukul 11.30 selepas bermula selepas solat Isya.

"Pak cik pernah menunaikan umrah sebelum ini, jadi tiada masalah sangat dalam melakukan ibadat itu sekali lagi malam tadi," katanya yang ditemui di sini, hari ini.

Bagi Zainah Musa, 67, dia yang mempunyai enam orang anak ingin memesan kepada anak-anak agar sentiasa menjaga diri dan mendoakan keselamatannya sepanjang berada di tanah suci.

Rakannya, Noraini Din, 56, yang juga datang dari Kulim berkata, petugas Tabung Haji menjalankan tugasan dengan baik dalam membimbing jemaah menunaikan umrah malam tadi. - UTUSAN ONLINE