Howard Lee yang juga merupakan ADUN Pasir Pinji sebaliknya menegaskan beliau akan tetap teguh menyokong kepemimpinan parti DAP.

Namun begitu, Howard Lee enggan memperakui atau menafikan sama ada kepemimpinan parti yang dimaksudkan beliau itu merujuk kepada Pengerusi DAP negeri, Nga Kor Ming ketika ditanya beberapa kali bagi mendapatkan kepastian.

"Saya tetap teguh menyokong kepemimpinan parti saya, itu saya punya respons. Hang (kamu) boleh tanya 100 kali pun, itu saya punya respons sebab saya orang parti.

"Isu parti adalah parti, maksudnya tidak wujud isu individu di sini," katanya ketika ditemui selepas sidang akhbar mengenai Karnival Makanan dan Permainan Tradisional di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Semalam, ADUN Malim Nawar, Leong Cheok Keng dan ADUN Pokok Assam, Leow Thye Yih masing-masing meletakkan jawatan mereka sebagai Timbalan Bendahari DAP negeri dan Penolong Setiausaha Organisasi DAP Perak kerana tidak berpuas hati dengan kenyataan Kor Ming bahawa kedudukan exco kerajaan negeri, Paul Yong Choo Kiong yang berdepan pertuduhan rogol di mahkamah, akan dibincangkan di peringkat Pakatan Harapan.

Thye Yih turut membidas Kor Ming apabila mendakwa semua jawatan pada pemilihan jawatankuasa negeri ditentukan oleh Kor Ming sendiri dan bukannya secara bergilir-gilir menurut perlembagaan parti.

Sehubungan itu, beliau merasakan jawatankuasa berkenaan adalah tidak sah termasuk jawatan Pengerusi DAP negeri kerana di bawah naungan Kor Ming, parti itu didakwa sudah menjadi 'Dictator Action Party'.

Ditanya sejauh mana kebenaran dakwaan Thye Yih bahawa ramai ahli DAP tidak berpuas hati dengan tindakan Kor Ming, Howard Lee sekadar menjawab beliau sangat berpuas hati dengan partinya.

"Bagi saya, parti adalah satu organisasi yang merentasi individu dan saya akur dengan segala keputusan parti. Saya akan tetap teguh menyokong kepemimpinan parti saya.

"Saya ahli parti dan parti akan membuat keputusan. Itu urusan parti dan parti akan keluarkan kenyataan manakala kita hari ini menguruskan perkara-perkara rakyat," katanya.

Ditanya sama ada beliau sendiri berpuas hati dengan cara pengendalian Kor Ming, Howard Lee sekali lagi mengulangi kata-katanya yang diulang sebanyak empat kali kepada pemberita: "Saya tetap teguh menyokong kepemimpinan parti saya," katanya. - UTUSAN ONLINE