Noor Hisham Abdullah

Ketua Pengarah Ke­sihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, bilangan doktor pakar dalam bidang tersebut perlu dipertingkatkan untuk menampung keperluan perkhidmatan kesihatan negara pada masa hadapan.

“Sehingga 30 September lalu, sebanyak 4,474 pegawai per­ubatan pakar berkhidmat dengan Kementerian Kesihatan, iaitu 91.9 peratus daripada 4,870 keselu­ruhan perjawatan tersebut.

“Bagaimanapun, atas faktor mengambil kira bilangan penduduk, beban dan kompleksiti penyakit, selain peningkatan fasiliti kesi­hatan serta perkhidmatan kesihatan, khu­susnya yang memerlukan tahap kepakaran yang tinggi, jumlah doktor pakar dalam bidang-bidang tertentu perlu ditambah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya berkata, kira-kira 150 doktor pakar di hospital-hospital kerajaan meletak jawatan setiap tahun sejak enam tahun lalu.

Katanya, situasi itu berlaku ke­rana masalah perjawatan terutama tiada kenaikan pangkat walaupun berkhidmat lebih 10 tahun.

Dalam pada itu, Noor Hisham berkata, kerajaan amat prihatin dan sentiasa berusaha untuk mengekalkan doktor pakar untuk bertugas di hospital kerajaan.

Menurut beliau, kerajaan melalui pengumuman Bajet 2017 telah bersetuju untuk mewujudkan lapisan gred baharu iaitu Gred UD56 bagi pegawai perubatan pakar.

Katanya, kementerian telah ba­nyak memberi pelbagai insentif kepada pegawai perubatan pakar serta membenarkan golongan tersebut membuat lokum di hospital swasta dengan syarat-syarat tertentu.

“Di samping itu, pakar yang melakukan kes-kes pembedahan pada hari cuti umum untuk me­ngurangkan masa menunggu kes pembedahan elektif akan diberi elaun seperti pembayaran elaun bekerja secara ‘sessional’ iaitu RM200 sejam,” ujarnya.

Tambah beliau, inisiatif itu termasuk peluang latihan di luar negara bagi kursus jangka pendek, selain kenaikan pangkat pakar lebih cepat mengikut tempoh pakar tersebut berkhidmat di Kementerian Kesihatan.