Rina yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, semua pihak perlu menghormati agensi-agensi kerajaan termasuk PDRM dalam menjalankan tugas dan amanah diberikan rakyat.

“Bukan sahaja PDRM, tetapi semua jabatan kerajaan (perlu dihormati), kerana kita ada tugas masing-masing. Biar PDRM jalankan tugas mereka dengan baik (tidak memberi tekanan),” katanya ketika ditemui semasa mengadakan lawatan kerja di Prowheels (M) Sdn. Bhd. di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Abdul Hamid hari ini yang menempelak segelintir ahli politik kerana telah memberi tekanan kepada PDRM berhubung siasatan video seks luar tabii melibatkan Haziq Abdullah Abdul Aziz yang dikaitkan dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Ditanya sama ada pergeseran antara Mohamed Azmin dan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ini memberi kesan kepada Pakatan Harapan (PH), Rina menafikannya.

Beliau sebaliknya yakin isu berkenaan dapat diselesaikan dengan baik secara dalaman oleh parti berkenaan.

“Mana-mana parti sekali pun, pergeseran dan perbezaan pandangan adalah perkara biasa serta saya yakin boleh diselesaikan segera.

“Saya tidak nampak ia memberi kesan serius kepada PH kerana apa yang lebih penting adalah menyelesaikan isu-isu rakyat,” katanya lagi. - UTUSAN ONLINE