HKL, dalam kenyataan hari ini berkata, gambar pesakit sedang memegang roti yang berkulat dalam Facebook itu adalah tidak benar.

Menurut kenyataan itu, sebaik menerima aduan daripada waris pesakit bahawa roti tersebut berkulat, pihak wad terus membuat pemeriksaan dan didapati roti berkenaan masih tidak luput tarikhnya, masih berbungkus dan tidak berkulat.

"Penjelasan lanjut telahpun diberikan kepada pihak waris bahawa tompokan kuning pada roti adalah ibu roti (yis) yang tidak diadun rata bancuhannya.

"Pesakit juga telah diberikan roti lain sebagai hidangan menggantikan roti tersebut," menurut kenyataan itu.

HKL menjelaskan bahawa pihak hospital telah mengarah Jabatan Dietetik dan Sajian HKL untuk menjalankan siasatan lanjut berkenaan insiden tersebut termasuk membuat pemeriksaan bekalan roti di wad dan juga stok roti di jabatan berkenaan. - BERNAMA