Seperti Thailand, Malaysia juga tidak mempunyai akta khusus mengenai kesalahan menghina raja. Di negara ini, kesalahan itu boleh diambil tindakan antaranya menerusi Akta Hasutan.

Akta Hasutan bagaimanapun sering menjadi sasaran kritikan antaranya dianggap lapuk, dakronian dan menyekat hak kebebasan bersuara. Dan kerajaan Malaysia baharu juga menuju ke arah memansuhkan akta tersebut.

Biar apa pun, kesalahan yang boleh mengancam keharmonian seperti tujuan asal Akta Hasutan harus kekal sebagai kesalahan.

Cuma tidak dinafikan, perlu sejajar dengan perkembangan semasa dan ini memerlukan pandangan menyeluruh dari rakyat.

Ini supaya akta baru itu kelak berteraskan Perlembagaan Persekutuan yang memaktubkan Islam agama Persekutuan, institusi raja, kedudukan Istimewa Melayu dan bumiputera serta menjamin hak-hak sah kaum lain selain bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Juga peruntukan lain-lain.

Senang cakap, digubal mengikut acuan Malaysia dan bukannya dari kaca mata Barat.

Misalnya ada pihak mendakwa hukuman penjara ke atas kesalahan menghina raja yang terdapat dalam Akta Hasutan dianggap tidak selari dengan perkembangan semasa.

Namun pada masa sama, sebahagian masyarakat pula mahukan hukuman lebih tegas bagi kesalahan itu daripada yang ada sekarang.

Relevan? Belanda misalnya, sebuah negara monarki berperlembagaan masih memperuntukkan hukuman penjara bagi kesalahan menghina raja.

Maka, molek sangat jika dibuat satu gerakan bagi mengumpul maklumat daripada segenap lapisan masyarakat mengenai kandungan akta baru yang akan menggantikan Akta Hasutan.

Sementelah lagi, memang undang-undang itu untuk menjaga keharmonian rakyat dan sewajarnya rakyat dilibatkan sama dalam memberi input kepada kerajaan. Barulah inklusif.

Bukan apa, kadang-kadang sensitif untuk A tetapi tidak untuk B. Ini yang selalu jadi isu. Mulut menentang akta ini tetapi pada masa sama masih buat laporan polis berhubung kesalahan di bawah Akta Hasutan apabila ‘kena dekat diri sendiri’. - UTUSAN ONLINE