Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Sheikh Umar Baghrib Ali berkata, sebagai negara berbilang bangsa agama dan budaya, perlu ada perasaan saling hormat-menghormati antara satu sama lain.

“Mereka yang melakukan perbuatan sedemikian tidak mempunyai rasa tanggungjawab dan sensitif kepada pihak lain lebih-lebih lagi Islam merupakan agama rasmi negara.

“Perbuatan sedemikian perlu ditolak bukan sahaja melibatkan agama Islam tetapi juga agama lain agar ada kerukunan dan keharmonian di antara kita,” katanya kepada pemberita selepas Program Fit Mesjid Peringkat Negeri Johor kali ketiga di Masjid Jamek Bandar Pontian di sini sebentar tadi.

Beliau mengulas perbuatan seorang pemilik akaun Facebook atas nama Wendy Loong yang memuat naik gambar mengina Nabi Muhammad SAW baru-baru ini.

Perbuatan tersebut mengundang kemarahan umat Islam dan sehingga kini sejumlah 483 laporan polis telah dibuat di seluruh negara terhadap pemilik akaun tersebut.

Tambah Sheikh Umar, usaha penerapan nilai-nilai hidup bermasyarakat perlu dipertingkatkan supaya tiada mana-mana pihak bebas mengeluarkan kenyataan yang boleh mencetus kemarahan kepada orang lain.

“Harus ada rasa hormat dan saling memahami agama yang dianuti oleh masyarakat di negara ini supaya tidak timbul sebarang perasaan benci dan cubaan untuk merendah-rendahkan agama yang lain,” jelasnya. - UTUSAN ONLINE