Jika ada yang tidak hormat ketika Negaraku dimainkan di tempat awam, hukuman boleh dikenakan iaitu denda dan penjara. Jumlah tidak melebihi RM100 atau maksimum sebulan penjara. Ini menurut Seksyen 8 (3).

Keseluruhannya akta itu ada 10 seksyen yang merangkumi segenap aspek berkaitan lagu Negaraku termasuk kuasa polis untuk menangkap tanpa waran mereka yang tidak tahu menghormati Negaraku.

Namun, bagaimana pula dengan pengibaran Jalur Gemilang yang menjadi isu hangat ketika ini apabila ada yang tidak tahu menghormati bendera negara? Jawapannya tiada akta khusus mengenai Jalur Gemilang.

Namun, ini bukan bermaksud tiada tindakan boleh diambil kepada mereka yang sengaja tidak menghormati Jalur Gemilang. Ada peruntukan lain yang boleh digunakan pihak berkuasa antaranya Kanun Keseksaan dan Akta Ke­salahan Kecil.

Mengambil contoh sekumpulan rakyat Australia yang ditahan kerana memakai seluar dalam bercorak Jalur Gemilang di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada Oktober 2016, siasatan dilakukan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu meng­aibkan dengan niat hendak memecahkan keamanan serta berkelakuan tidak senonoh di bawah Akta Kesalahan Kecil.

Namun mengambil kira situasi semasa beberapa kes Jalur Gemilang diterbalikkan yang kini dalam siasatan polis, molek kiranya kajian mendalam dilakukan untuk mewujudkan satu akta khas berkaitan Jalur Gemilang.

Mesej tegas harus diberikan. Bentuk kesalahan harus di­ga­riskan termasuk cara bagaimana Jalur Gemilang dikibarkan antaranya tidak lusuh apatah lagi terbalik dengan disengajakan sebagai tanda protes.

Hukuman menghina Jalur Gemilang? Wajar sekali jika diambil pandangan seluruh rakyat Malaysia, apa yang sesuai. Sama ada denda, penjara atau sebat atau kesemua­nya sekali. Ini lambang kebanggaan negara, suara rakyat teramai sangat mustahak.

Jika dibuat, elok juga mencontohi India. Negara itu mempunyai Prevention of Insults to National Honour (Amendment) Act, 2005. Hukumannya denda atau penjara hingga tiga tahun atau kedua-duanya.

Kebanggaan negara mengikut akta itu bukan sahaja bendera kebangsaan bahkan merangkumi lagu kebangsaan, simbol kebangsaan dan Perlembagaan. Saya kira amat wajar.