Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof berkata, perkara tersebut dilihat perlu bagi memastikan isu penghinaan melibatkan agama dan kaum boleh diatasi secara menyeluruh.

Bagaimanapun, kata beliau, perkara itu masih dalam pe­ringkat perbincangan dasar yang akan dibawa ke Kabinet terlebih dahulu sebelum dibentang dalam Parlimen pada Mac depan.

“Secara khususnya perkara ini belum dibentangkan dalam Kabinet dan secara dasarnya kita bersetuju untuk menangani isu kebencian kaum dan agama dengan niat dan dimasukkan dalam Kanun Keseksaan untuk dipinda bagi mendapatkan hukuman yang lebih tegas terhadap penghina-penghina agama termasuk agama Islam.

“Perkara itu dibuat dalam Kanun Keseksaan kerana saya percaya kita sudah ada peruntukan itu cuma kita memerlukan satu akta berbentuk nasional yang mengendalikan isu ini sama ada menimbulkan kebencian agama atau perkauman yang lebih ketat dan tegas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan majlis Pelancaran Standard Penarafan Masjid di Wilayah Persekutuan (SPMWP) dan Penyampaian Watikah Jawatankuasa Kariah Masjid dan Surau Jumaat Sesi 2018-2020 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Datuk Seri Syed Hussien Abd. Kadir; Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Mohamad Nordin Ibrahim dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Mohd. Ajib Ismail.

Mengulas lanjut mengenai SPMWP, Mujahid berkata, perkara itu bertujuan meningkatkan kualiti urus tadbir masjid ke tahap lebih optimum.

Katanya, usaha itu juga bagi memperkasa peranan masjid sebagai pusat aktiviti sosial umat Islam di samping mengetengahkan konsep masjid menyantuni ummah.

“Pendekatan ini akan memberi fokus kepada empat komponen utama iaitu pengurusan orga­nisasi, pengimarahan, kemudahan prasarana dan persekitaran selaras dengan konsep Rahmah iaitu ramah, aman, harmoni, mesra, alami dan hormat,” jelasnya.