Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, himpunan itu tidak mendapat kebenaran pemilik premis iaitu Majlis Perbandaran Kuantan (MPK).

"Penganjur pada 7 Ogos lalu ada memohon untuk mendapatkan permit perhimpunan yang mana ia menepati APA 2012 iaitu permit dimohon mestilah 10 hari sebelum perhimpunan.

"Bagaimanapun mereka gagal memenuhi syarat untuk mendapat kebenaran pemilik premis. Saya difahamkan MPK menolak permohonan penganjur atas sebab tertentu,” katanya di sini hari ini.

Mohamad Noor berkata, pihaknya akan membuat laporan bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut APA 2012.

"Saya tidak faham mengapa mereka teruskan juga perhimpunan ini sedangkan kita sudah beri penerangan yang cukup jelas sebelum ini. Malah ketika perjumpaan itu wakil mereka juga ada dalam kalangan peguam,” katanya. - UTUSAN ONLINE