Ikatan erat perpaduan yang dikatakan semakin tegang disebabkan beberapa isu sebelum ini dilihat bertambah buruk apabila tercetusnya kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, Selangor.

Namun begitu, himpunan yang dijadual berlangsung pada 8 Disember depan itu disifatkan sebagai himpunan bagi meredakan suasana, bukannya ingin menyemarakkan polemik ketegangan antara kaum.

Hal ini kerana, menurut Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, himpunan membantah ICERD itu bukannya khas buat sesuatu kaum sahaja, namun lebih kepada himpunan menyatakan rasa syukur melibatkan polisi negara.

“Ini bukan himpunan kaum, bukan soal Melayu, Cina atau India. Kita cuma nak pastikan tidak ada satu kaum pun dalam negara yang terpinggir.

“Malah, kita juga jemput semua kaum (sertai) kerana kita semua cintakan kedamaian yang sudah dikecapi bersama selama 60 tahun. Itu yang kita kena pertahankan,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini. - UTUSAN ONLINE