Pengarah Urusan Melilea, Wee Siew Ling berkata, kesemua sekolah kebangsaan (SK), sekolah menengah kebangsaan (SMK), sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC), sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT) dan sekolah rendah agama (SRA) yang menerima sumbangan itu dipilih berdasarkan terdapatnya kes HFMD di sekolah-sekolah tersebut tahun ini.

Menurutnya, membersihkan tangan dengan cecair pembasmi kuman merupakan langkah pertama mencegah penyakit berkenaan dan pihaknya berbesar hati untuk membantu menjayakan matlamat tersebut.

"Bagaimanapun, semua pihak terutamanya ibu bapa perlu bekerjasama bagi memastikan murid-murid sentiasa peka terhadap aspek kebersihan termasuk persekitaran bersih dan terlindung daripada jangkitan HFMD.

"Langkah ini penting kerana wabak penyakit itu sangat mudah berjangkit hanya melalui sentuhan di kawasan tercemar atau cecair tubuh pesakit," katanya ketika berucap pada majlis penyerahan pembersih tangan Melilea di Sekolah Kebangsaan (SK) Datuk Demang Hussin, Bukit Katil di sini.

Yang turut hadir, Guru Besar SK Datuk Demang Hussin, Adam Md. Dali.

Antara sekolah yang menerima sumbangan itu termasuk SMK Nyalas, SK Othman Syawal, SK Kem Terendak 1, SK Air Baruk, SK (P) Methodist 2, SK Batu Berendam, SK Bertam Hulu, SJKC Machap Umboo, SJKC Kuang Hwa, SJKT Melaka Kubu dan SRA JAIM Pernu.

Selain memberikan sumbangan cecair pembasmi kuman, Melilea turut menjalankan kempen kesedaran tentang kepentingan mencegah HFMD kepada warga sekolah termasuk guru, murid serta pelajar.

Jelas Siew Ling, inisiatif yang dilaksanakan pihaknya itu turut mendapat sokongan dan kerjasama daripada Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan.

"Sejak Ogos lalu, Melilea telah menyumbangkan sebanyak 10,000 unit cecair pembersih tangan bersaiz kecil dan 3,000 unit bersaiz besar kepada 474 buah sekolah di seluruh negara," kata beliau. - UTUSAN ONLINE