Pegawai Bomba Kanan Il (PBK II) Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Mohd. Azlan Zainal berkata, pihaknya telah membuka sebuah, pusat kawalan di kampung asal Orang Asli suku kaum Batek sejak pukul 12 tengah hari ini bagi memudahkan anggota melakukan kerja kawalan.

Katanya, selain pemantauan kualiti udara, anggota tersebut juga akan mengambil sampel air sungai yang digunakan berdekatan kawasan hutan yang menjadi lokasi perpindahan sementara sebelum dihantar ke Jabatan Kimia.

"Buat masa ini, pemantauan kualiti udara di kawasan zon kuning perkampungan asal Orang Asli Kuala Koh masih lagi selamat.

"Zon merah yang diwartakan di tempat perpindahan sementara iaitu kira-kira dua kilometer dari kampung asal masih dalam kawalan dan pemantauan,” katanya di sini hari ini.

Tambah Mohd. Azlan, pihaknya juga mendapat bantuan anggota dari negeri lain seperti Kuala Lumpur, Terengganu, Perak dan Melaka.

Katanya, anggota itu akan bergilir-gilir menjaga pusat kawalan dan berkawal sekitar kawasan kampung.

Akhbar hari ini melaporkan orang awam dinasihatkan supaya tidak masuk ke perkampungan Orang Asli dekat Kuala Koh, Gua Musang, Kelantan kerana jangkitan kuman di paru-paru mudah merebak.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, ketika mengumumkan larangan itu berkata, siasatan pihaknya kini menjurus kepada penyakit terbabit, berbanding jangkitan kencing tikus dan tibi yang pernah didakwa sesetengah pihak sebelum ini. - UTUSAN ONLINE