Pengarahnya, Aidil Afizie Daud berkata acara berkenaan dirancang diadakan pada hujung Oktober, sempena Tahun Melawat Malaysia 2020.

“Dengan purata penduduk di negeri ini 1.6 juta orang, kita lihat tidak mustahil untuk mencapai sasaran berkenaan, ini kerana boleh dikatakan hampir kesemua rakyat di negeri ini, mampu untuk berdikir barat,” katanya di Program ‘Kelik Kapong’ yang turut dihadiri Ketua Operasi UMW Training Centre, Che Abdul Kadir Abdullah di Kampung Seterpa di sini, malam tadi.

Aidil Afizie berkata, program itu mungkin akan diadakan di Stadium Sultan Muhammad ke-IV di sini.

“Jika semua boleh berkumpul di stadium, kita akan lakukan di sana ataupun jika tidak, kita akan buat ‘live streaming’ yang akan dipancarkan secara serentak,” katanya sambil menambah program ini mendapat kerjasama Tourism Malaysia, Pusat Pelancongan Negeri Kelantan dan agensi lain.

Katanya, dikir barat boleh dikatakan sebagai satu aktiviti kebudayaan global, justeru pihaknya juga akan menjemput peserta dari luar negeri ini termasuk Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan dan lain-lain untuk sama-sama memeriahkan lagi acara berkenaan.

“Dengan adanya program pelancongan sebegini saya berharap ia dapat memberi impak besar kepada ekonomi negara dengan tarikan pelancong dari dalam dan luar negeri,” katanya. - BERNAMA