Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, agihan hasil itu akan dilakukan setelah perakaunan hasil cukai pelancongan untuk tahun lalu dimuktamadkan dan pembayaran sebanyak 50 peratus akan dilakukan dalam suku pertama tahun ini.

“Pembayaran hasil cukai pelancongan masih belum dilakukan dan akan diterima oleh semua negeri tanpa diskriminasi. Pembayaran hanya dilakukan setelah perakaunan hasil cukai pelancongan untuk tahun lalu dimuktamadkan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam kenyataan yang sama, Guan Eng turut menyatakan rasa kesal dengan sikap kerajaan negeri Sarawak yang menunjukkan sikap tidak rasa bersalah walaupun membuat dakwaan palsu berhubung agihan hasil cukai pelancongan.

Guan Eng berkata, Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berdegil mengulangi dakwaan palsu bahawa Sarawak didiskriminasi kerana tidak dibayar hasil cukai tersebut.

“Amatlah mudah untuk kerajaan negeri Sarawak mengesahkan sama ada pembayaran hasil cukai pelancongan telah dilakukan atau pun tidak dengan hanya menulis surat kepada kementerian. Malangnya, mereka gagal berbuat demikian dan memilih untuk menyerang kerajaan," katanya.

Abdul Karim sebelum ini dilaporkan sebagai berkata, Kerajaan Pusat masih berhutang kepada kerajaan negeri Sarawak hasil kutipan cukai pelancongan sebanyak RM2.7 juta selain turut mendakwa Sabah telah pun menerima agihan hasil cukai berkenaan.-UTUSAN ONLINE