Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Khalil Kader Mohd. berkata, jumlah itu menyaksikan peningkatan sebanyak 135 kes atau 14.47 peratus daripada jumlah yang direkodkan dalam tempoh sama tahun lalu iaitu 933 kes.

“Hari keempat Op Selamat kali ini juga merekodkan sebanyak sembilan kes kemalangan maut membabitkan 10 kematian melibatkan kawasan jalan perbandaran di negeri ini, manakala tempoh sama tahun lalu pula mencatatkan sebanyak 10 kes kemalangan maut membabitkan 10 kematian,” katanya pada sidang akhbar di Pusat Media Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Tambahnya, sebanyak 7,181 saman atas pelbagai kesalahan dikeluarkan berbanding 7,819 saman dikeluarkan dalam tempoh sama tahun lalu.

Mohd. Khalil semasa melancarkan Op Selamat peringkat negeri di Plaza Tol Skudai Rabu lalu memberitahu, seramai 552 pegawai dan anggota polis di negeri ditugaskan sepanjang Op Selamat dijalankan dengan tumpuan akan diberikan kepada Daerah Batu Pahat.

Menurutnya, penempatan lebih ramai anggota dan pegawainya di Batu Pahat dibuat sejajar usaha mengurangkan kadar kemalangan maut di daerah itu, antara yang tertinggi direkodkan di negara ini dengan sepanjang tahun lalu sebanyak 53 kes kemalangan maut direkodkan manakala tahun ini sehingga April sahaja, sebanyak 54 kes telah dilaporkan.

Pada masa sama, katanya, bagi mencapai matlamat mengurangkan kadar kemalangan pihaknya turut mengubah lokasi operasi subtek di negeri ini dari Johor Bahru ke Batu Pahat sepanjang Op Selamat dijalankan. - UTUSAN ONLINE