Bagi penghibur sepanjang za­man, Datuk M. Daud Kilau, pe­mergian SM Salim menyentuh emosinya kerana Allahyarham tidak pernah putus mendoakan ke­sejahteraan orang-orang yang dikenalinya.

Bahkan, kata M. Daud, Allahyarham SM Salim juga merupakan teman seangkatan yang se­ring menegur seandainya beliau melakukan kesilapan.

“Sepanjang mengenalinya dan sering membuat persembahan bersama, dia banyak menegur da­lam nada bergurau. Namun, saya tidak pernah berkecil hati dengan setiap tegurannya.

“Beruntung saya dikurniakan sahabat sepertinya dunia dan­ akhirat. Mulutnya sentiasa men­doakan kesejahteraan orang yang dikenalinya,” tambah Raja Gelek itu ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam, Jalan Ampang di sini selepas pengebumian seniman SM Salim.

Lebih 200 kenalan hadir mem­beri penghormatan pada pe­nge­bumian seniman yang konsisten memperjuangkan irama Mela­yu asli sepanjang hampir enam dekad itu.

Jenazah Allahyarham SM Sa­lim sebelum itu tiba di Masjid Jamek Kampung Baru, di sini pada pukul 10.40 pagi untuk dimandi, dikafan dan disembahyangkan.

Bagi penyanyi era 70-an, Uji Rashid pula, mengenali SM Salim merupakan satu penghormatan baginya kerana sepanjang bergelar rakan artis Allahyarham banyak berkongsi ilmu dengan penyanyi-penyanyi yang lebih muda daripadanya.

Menurut Uji, adalah satu kerugian buat generasi baharu yang tidak sempat mengenali SM Salim memandangkan Allahyarham memiliki banyak petua dalam memajukan diri sebagai anak seni.

“Sambil berjenaka, arwah se­ring bercerita tentang pengalamannya selama berdekad-dekad sebagai penyanyi. Beliau tidak memberikan nasihat secara formal, tetapi begitu santai sehingga membuatkan ramai penyanyi muda ketika itu selesa berdam­pingan dengannya,” katanya dalam nada sebak.

Sementara itu, pengarah mu­zik terkenal, Datuk Acis memberitahu, seniman SM Salim merupakan seorang original rapper (penyanyi rap asli) yang dikenalinya memandangkan Allahyarham adalah penyanyi terawal yang berbual atau bercakap dalam nyanyiannya.

“Cuba dengar balik lagu-lagu­nya, sangat menarik cara pe­nyampaiannya. Sambil mendendangkan lagu, dia menasihati seperti sedang menyanyi rap. Dia lebih awal wujud berbanding penyanyi rap tempatan sedia ada,” ujar suami kepada penghibur ternama Datuk Sheila Majid itu lagi.

Selain M. Daud, Uji Rashid dan Acis, rakan artis lain yang turut memberi penghormatan pada Allahyarham SM Salim ialah Datuk M. Nasir dan isteri, Datin Marlia Musa, Datuk Jeffrydin, Zack Kool, Ali Bakar, Herman Tino dan Meor Hashim Manap.

SM Salim atau nama sebenar­nya Sheikh Salim Sheikh Muhammad Al Mahros memulakan kerjaya sebagai penyanyi pada 1950-an dan merupakan pendukung gigih lagu Melayu klasik.

Seniman veteran itu lumpuh akibat sakit saraf dan perlu bergantung kepada kerusi roda sejak 17 tahun lalu.

Allahyarham meninggalkan isteri, Puan Sri Aishah Abdul Ghani bersama tujuh orang anak iaitu Siti Nuraishah, 60, Sheikh Samsuddin, 58, Siti Nur Huda, 56, Siti Maheran, 54, Siti Huzayah, 53, Sheikh Shamsul, 51, dan Siti Zubaidah, 35.