Hujah kedua-duanya memang masuk hati kata orang Kedah, logiknya memang ada. Apatah lagi mereka berkelulusan tinggi dalam ekonomi dan kewangan.

Harga minyak pun sudah turun sejak semalam. Petrol RON95 kini di bawah RM2 seliter. GST pula sudah enam purnama dimansuhkan. Namun hendak lihat troli pasar raya penuh, bukan semudah dekad 80-an dan 90-an kecuali duit dalam dompet bekepuk.

Harga barangan tidak lah ikut turun. Memang baru dua hari, tetapi kalau bagi dua bulan pun percayalah, sama sahaja. Sama selepas hapus GST, jika buat perbandingan harga dengan awal tahun lalu, tiada perbezaan ketara pun. Malah, ada yang lebih mahal. Bukan sahaja makanan tetapi barangan keperluan lain.

Realitinya, teori akademik apatah lagi teori orang politik tidak semestinya menterjemahkan realiti. Setakat ini, ramai beralih kepada alasan ringgit lemah. Sekali lagi memang ada logik kerana 80 peratus makanan kita diimport. Jika tidak diimport seperti daging ayam dan telur sekalipun, dedak haiwan itu diimport. Lemah ringgit maka mahal jadinya.

Barangan peribadi seperti ubat gigi dan deodoran juga ramai mengeluh, ketara naik harganya. Memanglah, produk penjagaan diri pun banyak yang diimport dari negara jiran tetapi kerana matawang negara terbabit seperti Thailand makin kukuh, kita tanggung akibatnya.

Apa pun tetap tiada jaminan harga barang boleh turun jika prestasi ringgit lebih baik. Logik akal memang patut turun, tetapi siapa nak kawal peniaga? Sebab itu, jika ditanya mereka yang berpengalaman dalam gerakan kepenggunaan, soal harga barang cukup rumit.

Senang cakap begini kata seorang pemimpin persatuan pengguna, harga barang seperti kucing panjat pokok. Naik pandai, tapi nak turun, ya Allah punya susah sampai ada kalanya kena panggil bomba.

Jadi, menteri-menteri yang bijaksana, tumpulah segala kudrat untuk mengukuhkan ekonomi dan nilai ringgit agar kos hidup rakyat dikurangkan. Tak perlulah sebahagiannya masih asyik berpolitik apatah lagi yang sempat menulis bukan-bukan dalam media sosial.

Lebih molek lagi, kalau ada perkara yang dalam kawalan kerajaan, turunkanlah harganya. Mungkin tarif elektrik, yuran universiti awam, cukai pintu atau lebihkan insentif langsung untuk rakyat. Itu rakyat nak dengar. - UTUSAN ONLINE