Aktivis kebudayaan, Eddin Khoo berkata, perkara tersebut perlu dibuang kerana akan menimbulkan rasa kemangsaan dalam kalangan rakyat.

“Tidak ada tuan di bumi ini. Memang ada budaya dan masyarakat yang asas, tetapi apabila ada pergelutan di antara ‘ketuanan’, maka kita akan melahirkan sikap kemangsaan.

“Ini merupakan satu penyakit dan luka yang timbul di negara ini dan setiap masyarakat menganggap diri mereka sebagai mangsa masyarakat lain,” katanya yang dipetik laporan FreeMalaysiaToday dalam forum ‘Bicara Kemerdekaan Kedua: Cabaran Membina Malaysia Di Alaf Baharu’ di sini hari ini.

Eddin berkata, beliau melahirkan rasa bimbang terhadap situasi yang wujud ketika ini akan mempamerkan masyarakat separuh celik khususnya dalam menghayati definisi Melayu.

Katanya, berhubung soal mengiktiraf Melayu sebagai budaya asas, soalan yang perlu di tanyakan terlebih dahulu adalah ‘siapa itu’ Melayu dan ‘apa itu’ Melayu.

“Kebanyakan anak Melayu tidak kenal pun apa itu Melayu, selain daripada pengiktirafan Perlembagaan. Ini kerana, sesiapa pun yang bertapak di negara ini adalah menjadi anak bumi ini,” ujarnya.

Untuk rekod, beliau kini merupakan pengasas pusaka pertubuhan kebudayaan yang kini dalam usaha mendokumentasikan serta menghidupkan seni persembahan dan tradisi kebudayaan tempatan dan serantau. - UTUSAN ONLINE