ZAINAL RAHIM SEMAN

Ketua Pengarah Jabatan Per­k­hidmatan Awam, Datuk Seri Zainal Rahim Seman berkata, bagaimanapun kelonggaran itu terbatal selepas mereka dilantik ke jawatan tetap yang mewajibkan mereka lulus subjek tersebut di peringkat SPM.

Kata beliau, kerajaan amat prihatin akan situasi ber­kenaan sebagai salah satu langkah transformasi perkhidmatan awam membabitkan golongan Pegawai Perubatan Gred UD41 yang perlu menjalani latihan siswazah selama dua tahun (housemanship) dan khidmat wajib selama dua tahun.

“Kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan berhubung isu tersebut adalah hasil perbincangan dan persetujuan bersama oleh JPA bagi tujuan transformasi perkhidmatan awam di mana kelonggaran syarat tersebut telah dimaklumkan pelaksanaannya melalui surat JPA bertarikh 23 Februari lalu.

“Bagaimanapun, selepas tamat tempoh latihan siswazah tersebut dan mereka diserapkan ke jawatan tetap, syarat lulus Bahasa Melayu di peringkat SPM adalah diperlukan. Namun, bagi memudahkan keperluan ini, syarat untuk menduduki kelulusan Bahasa Melayu itu boleh diduduki secara mata pelajaran tunggal SPM.

“Pihak JPA, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan (melibatkan Lembaga Peperiksaan Malaysia) sedang membincangkan kaedah terbaik melaksanakannya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.