Perkara itu diumumkan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari yang menunjukkan Air Selangor akan menjadi pemegang lesen tunggal bekalan air untuk Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Ia berjaya menyempurnakan pengambilalihan semua syarikat konsesi milik swasta iaitu Puncak Niaga Sdn. Bhd., Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn.Bhd., Konsortium ABASS Sdn. Bhd., Konsortium Air Selangor Sdn. Bhd. dan Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn. Bhd. (SPLASH).

“Kejayaan penstrukturan ini sekali gus memberi erti semua konsesi air akan ditamatkan,” katanya memetik laporan portal Free Malaysia Today di sini hari ini.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Perasmian Air Selangor sebagai pemegang lesen tunggal perkhidmatan bekalan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya hari ini.

Proses penstrukturan semula industri air di Selangor tertangguh sekian lama kerana kerajaan negeri dan Persekutuan gagal mencapai kata sepakat berhubung nilai tawaran pengambilalihan SPLASH.

Krisis pengambilalihan itu selesai pada 3 Ogos tahun lalu apabila Kerajaan Selangor memuktamadkan pengambilalihan SPLASH pada harga RM2.55 bilion selepas diskaun 28 peratus dan rundingan hampir setahun antara Air Selangor serta syarikat itu.

Nilai buku bersih SPLASH pada 30 Jun tahun lalu adalah RM3.54 bilion.

Dalam pada itu, Amirudin juga tidak menolak kemungkinan tarif air akan dinaikkan kerana pengambilalihan itu membabitkan kos tinggi dan kerajaan negeri membelanjakan RM1.1 bilion untuk menaik taraf dan membaik pulih pelbagai aset serta infrastruktur bekalan air dari 2016 hingga 2018.

Namun, katanya, terpulang kepada Kementerian Air, Tenaga dan Sumber Asli untuk menentukan jika tarif air di Selangor perlu dinaikkan.

“Setakat ini saya tak dapat ilham lagi, kena tanya Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli. Dia akan lihat ini.

“Yang penting apa saya nak sebutkan di sini, semua ada harga dan kita juga harus tunjuk apa kita lakukan,” jelasnya. -UTUSAN ONLINE