Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru negeri, Teo Kok Seong berkata, tempoh itu diberikan dalam program pemutihan terhadap resort tidak berlesen yang dijalankan kerajaan negeri sejak Jun lalu.

Sehingga kini, katanya, kira-kira 30 peratus daripada kesemua resort berkenaan termasuk The Dusun telah mengemukakan permohonan kepada MPN.

"Kita harap semua resort tersebut mengambil peluang daripada program pemutihan ini untuk membuat permohonan supaya kerajaan negeri dapat membuat pemantuan yang lebih baik," katanya dalam sidang akhbar di Wisma Negeri di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan negeri, Nicole Tan Lee Koon dan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Mohamad Taufek Abd. Ghani.

Pada Ahad lalu, remaja dari Ireland, Nora Anne Quoririn, 15, didapati hilang dari bilik penginapan di resort The Dusun.

Sehingga kini, beliau belum ditemui dan pihak berkuasa telah melancarkan gerakan besar-besaran bagi mencarinya.

Kok Seong menjelaskan, insiden yang menimpa remaja berkenaan tidak mempunyai kaitan dan proses pemutihan tersebut kerana program itu telah dimulakan sejak Jun.

"Pengusaha resort mempunyai tanggung jawab memastikan keselamatan para pelanggan mereka dan insiden ini perlu dijadikan iktibar terhadap langkah-langkah yang patut dibuat oleh mereka bagi mengelakkan ia berulang," ujarnya.

Dalam sidang akhbar pada Jun lalu, Kok Seong memberitahu, kebanyakan resort berkenaan tidak diluluskan untuk beroperasi kerana gagal mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan MPN.

"Antara kesalahan resort terbabit ialah pembinaan bangunan tidak mendapat kebenaran dan dibina di atas tanah pertanian bagi tujuan komersil. Selain itu, kedudukan bangunan yang agak bercerun dan dikhuatiri mendatangkan risiko keselamatan, kepada pengunjung termasuk pelancong asing.

"Isu penggunaan tanah pertanian untuk tujuan komersil serta penggunaan air dari bukit juga menyalahi syarat dan peraturan yang ditetapkan MPN," katanya. - UTUSAN ONLINE