Ketua Pakar Rujuk Musim Haji 1440H, Datuk Wan Mohamad Wan Abdul Aziz berkata, perancangan awal akan membolehkan golongan tersebut memenuhi syarat (isthitoah) menunaikan haji walaupun ketika usia muda pada awal 30an atau 40an.

WAN MOHAMAD WAN ABDUL AZIZ
WAN MOHAMAD WAN ABDUL AZIZ 

“Kita dapat melihat trend anak muda menunaikan haji semakin meningkat walaupun secara umumnya golongan berusia paling ramai menunaikan haji setiap tahun,” katanya kepada wartawan Malaysia di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata, Malaysia mungkin boleh mencontohi beberapa negara yang jemaah mudanya lebih ramai daripada berusia disebabkan mempunyai program kewangan yang baik.

Ditanya ada pihak yang tidak berpuas hati jika ramai golongan muda terpilih menunaikan haji, bekas Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu berkata, perkara tersebut tidak seharusnya berlaku.

“Kita seharusnya tumpang gembira apabila ada keluarga atau rakan yang lebih muda dapat pergi ke Tanah Suci kerana kita boleh mohon jasa baik mereka untuk berdoa untuk kita juga,” tambahnya.

Beliau berkata, seperti yang disabdakan Rasulullah SAW, melaksanakan ibadat haji adalah satu pengorbanan besar atau jihad yang dilakukan tanpa peperangan atau pertumpahan darah.

“Saidatina Aishah sendiri pernah bertanya kepada Nabi Muhammad adakah wanita tidak boleh berjihad? Nabi kemudiannya menjawab bahawa wanita boleh berjihad tanpa pertempuran dengan hanya melakukan haji dan umrah,” katanya.

Wan Mohamad berkata, ibadat yang bermula dari zaman Nabi Ibrahim itu menyaksikan bagaimana sebuah keluarga sanggup berkorban dalam melaksanakan perintah Allah.

“Bermula daripada isteri Nabi Ibrahim, Saidatina Siti Hajar yang ditinggalkan bersama anaknya, Nabi Ismail di Mekah yang ketika itu kawasan kering-kontang.

“Sehinggalah kesanggupan Nabi Ibrahim menyembelih anaknya, Ismail yang menjadi permulaan sambutan Hari Raya Aidiladha - semuanya pengorbanan yang dilakukan atas perintah Allah,” tambahnya.

Menyentuh mengenai peranan petugas haji, beliau berkata, golongan itu akan mendapat ganjaran berganda kerana selain berpeluang menyantuni jemaah haji, mereka sendiri adalah Tetamu Allah kerana berpeluang menunaikan ibadat haji.

“Mereka memberikan perkhidmatan yang sangat istimewa kerana melayan Tetamu Allah di dua Tanah Suci atau di kawasan sekitarnya,” tambahnya. - UTUSAN