Ibrahim, 52, Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pasir Mas Kelantan itu, mengecap kegembiraan berganda apabila memenangi hadiah utama Cabutan WOW! Sukuan SSPN1M-i Plus berupa pakej pelancongan keluarga ke Disneyland Jepun atau umrah bernilai RM23,000 beserta wang tunai RM3,000.

Beliau yang hadir bersama isteri, Idah Mohamad, 51, dan anak bongsunya menerima hadiah yang disampaikan oleh Ketua Eksekutif PTPTN, Wan Ahmad Wan Yusoff sempena sambutan Hari Guru peringkat daerah Besut di Dewan Gong Kemuntong dekat sini semalam.

Majlis penyampaian hadiah turut disaksikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Perusahaan Perladangan dan Komoditi negeri, Datuk Muhammad Pehimi Yusof.

Sambil menyatakan rasa syu­kur dan berterima, Ibrahim yang tidak menyangka akan me­nerima hadiah tersebut melalui keistimewaan ganjaran kepada pendeposit, menyifatkan hadiah itu menyempurnakan impiannya untuk mengerjakan umrah.

“Sebelum ini apabila melihat jiran kami berpeluang menunaikan umrah bersama keluarga, jauh di sudut hati saya timbul keinginan untuk pergi tetapi masih belum berpeluang.

“Alhamdulillah dipermudahkan, tercapai juga hasrat kami sekeluarga. Sebenarnya saya ti­dak menyangka mendapat peluang (muncul pemenang) hanya dengan menyimpan menerusi SSPN1M- i Plus dan kini sedar ba­nyak manfaat yang diperoleh apabila menyertai skim berkenaan,” ujarnya.

Katanya, masyarakat perlu me­­nyedari bahawa SSPN1M-i Plus bukan sekadar untuk mendidik sikap menabung dalam kalangan anak-anak tetapi juga berpeluang memenangi hadiah menerusi cabutan yang diadakan sepanjang tahun.

Sementara itu, tiga orang guru di daerah ini turut terpilih menerima Geran Sepadan RM500 (GS500) setelah membuat penambahan melebihi RM500 ke dalam akaun anak-anak mereka dan turut layak menyertai Hadiah Cabutan WOW!

Haniza Hamzah, 44, guru dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Nering menyimpan secara bulanan menerusi potongan gaji untuk tiga anaknya berusia tujuh hingga 12 tahun.

Menurut Haniza, dia dimaklumkan oleh pihak PTPTN bahawa layak menerima GS500 dan berita itu disambut dengan hati yang gembira kerana dapat menyimpan untuk pendidikan anak-anaknya.

Bagi Norlizah Sureb, 46, guru dari Sekolah Kebangsaan Bukit Kenak pula, dia membuat penambahan ke akaun dua orang anak­nya berumur lapan dan 12 tahun selain simpanan menerusi poto­ngan gaji.

“Inilah satu cara kita memberi keutamaan kepada pendidikan anak-anak supaya apabila mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi tidak banyak masalah timbul terutama dari segi menyediakan perbelanjaan,” tambahnya.

Mustopha Mat Hassan, 52, yang mengajar di Sekolah Kebangsaan Bukit Jerok pu­la memberitahu, dia me­nyimpan untuk dua orang anak berusia 10 dan 20 tahun semenjak anak bongsunya ber­usia setahun le­bih lagi.

Kini tambahnya, sim­panan da­lam akaun anak-anaknya sudah melebihi RM1,000 dan bercadang menambah simpanan untuk memastikan apabila di­perlukan nanti, SSPN1M-i Plus dapat membantu meringankan perbelanjaan pendidikan anak-anaknya.