Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof berkata, hab berkenaan yang dicadang ditubuhkan di sini mampu menjadi rangsangan serta meningkatkan lagi penguasaan bumiputera dalam bidang keusahawanan terutama di kawasan Pantai Timur.

“Dengan wujudnya Hab Pemborongan Usahawan Bumiputera di bawah kendalian TEKUN Nasional ini, usahawan dari Pantai Timur boleh mendapatkan margin lebih tinggi dengan kos yang rendah tanpa perlu dapatkan bekalan dari Kuala Lumpur.

“Kerajaan sedar, usahawan Bumiputera memerlukan ruang perniagaan yang kondusif dan strategik untuk berniaga. Oleh itu, dengan mewujudkan Hab Pemborongan Usahawan Bumiputera ini, kesukaran orang Melayu mendapatkan tempat atau ruang perniagaan dapat di atasi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis perjumpaan bersama usahawan TEKUN Nasional negeri Kelantan yang berlangsung di Platinum Mall di sini semalam.

Turut hadir Pengerusi TEKUN Nasional, Datuk Seri Muhamad Suparadi Md. Nor.

Ujar Mohd. Redzuan lagi, hab itu juga bakal menjadi medium kepada kira-kira 4,000 usahawan Bumiputera untuk memasarkan produk mereka di serata negara dengan jumlah jualan mampu mencecah RM100 juta sebulan.

Menurut beliau, walaupun idea ini masih diperingkat cadangan namun maklum balas yang diterima daripada masyarakat sekitar adalah positif kerana dengan adanya hab ini, ia dijangka akan menyokong pembangunan usahawan dalam meluaskan pasaran, mempertingkatkan skala perniagaan sekali gus menggalakkan ekonomi setempat.

“Lokasi hab ini telah mengambil kira demografi secara strategik, kerana di Kelantan terdapat ramai usahawan Melayu. Hasil daripada kajian mendapati terdapat ramai pemborong-pemborong daripada Pantai Timur mendapatkan bekalan di Kenanga Wholesale Centre, GM Klang Wholesale City dan Nilai 3.

“Oleh itu dengan adanya hab ini dijangka akan dapat menjana jualan sebanyak RM100 juta sebulan selain membuka 10,000 peluang pekerjaan.

“Ini sudah tentu selari dengan usaha kerajaan dalam menjayakan Dasar Keusahawanan Nasional sekali gus memenuhi kesungguhan dan iltizam kerajaan untuk merealisasikan Malaysia sebagai Negara Keusahawanan Unggul menjelang 2030 nanti,” ujar beliau. - UTUSAN ONLINE