Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek
Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, seramai 58 pegawai veterinar dan 126 orang kakitangan terlibat dalam operasi kawalan dan pembasmian tersebut.

"Hasil dari tindakan pantas dan menyeluruh oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), kita telah berjaya menghadkan penularan virus ini dan satu zon pemantauan berlingkungan 15 kilometer telah diwujudkan.

"Penyakit ini juga buat masa ini terhad kepada ternakan ayam kampung sahaja dan bukan ayam komersil. Buat masa ini, keadaan adalah terkawal dan JPV sedang terus memantau situasi di lapangan," katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kementerian tahun 2016 di sini hari ini.

Pada 8 Mac lalu, media melaporkan kematian 15 ayam kampung di Kampung Pulau Tebu, Tunjong disahkan positif akibat selsema burung H5N1. - UTUSAN ONLINE